200 KELUARGA DIJANGKA BERPINDAH KE PROJEK FASA KEDUA DARUL HANA MENJELANG 2026

20/03/2024 10:00 PM

KUCHING, 20 Mac (Bernama) -- Sebanyak 200 keluarga dijangka berpindah ke projek fasa kedua pembangunan Darul Hana menjelang 2026, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pembinaan fasa kedua Darul Hana kini giat dijalankan, seiring dengan projek pembinaan perumahan Sungai Bedaun yang juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan Darul Hana.

"Kita (kerajaan Sarawak) juga akan kenal pasti satu lagi kawasan untuk kita bangunkan Darul Hana ini, berdekatan dengan kampung yang sedia ada sekarang," katanya selepas menghadiri Majlis Iftar Darul Hana 2024 di sini malam ini.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan bagi 2023 oleh Pemangku Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Kusyairi Bostani berjumlah RM1,910,187.26 kepada Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bolhassan Iskandar Taibi.

Terdahulu, seramai 130 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim daripada 13 kampung dalam kawasan projek Darul Hana menerima sumbangan hari raya RM150 setiap seorang yang disampaikan oleh Abang Johari.

Majlis Iftar Darul Hana merupakan satu daripada acara anjuran LCDA sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat.

-- BERNAMA