SARAWAK MANFAATKAN JALINAN HUBUNGAN SEDIA ADA DENGAN KALIMANTAN BARAT - ABANG JOHARI

20/03/2024 05:48 PM

KUCHING, 20 Mac (Bernama) -- Sarawak akan memanfaatkan jalinan kerjasama sedia ada dengan wilayah Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia untuk bersama-sama menerokai peluang pelaburan dan kerjasama pembangunan di Kalimantan Timur (Kaltim) yang menjadi lokasi baru ibu negara Indonesia, Nusantara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jalinan kerjasama yang melibatkan pembukaan sempadan untuk perniagaan dan penerbangan di antara wilayah Sarawak dan Kalbar ini dapat dijadikan asas untuk melihat peluang pelaburan baru berikutan pembangunan di Kaltim.

“Memang kita sudah ada kerjasama untuk memberikan bantuan dalam pembangunan yang berlaku di Nusantara, khasnya Kalimantan Selatan dan Kalimantan Timur. Pihak SEB (Sarawak Energy Berhad) telah melabur dalam janakuasa di Melinau di Kalimantan Timur, dengan kita mempunyai pegangan saham 25 peratus dalam pembangunan hidro yang akan menjanakan tenaga kepada Kalimantan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di sini, hari ini,

Beliau berkata kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dalam bidang lain dalam pembangunan di Nusantara, khususnya dengan cadangan kerajaan Indonesia untuk memanfaatkan lagi potensi hidronya.

Abang Johari berkata Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Dewan Peniagaan Cina Sarawak juga sudah memulakan jaringan kerjasama dengan badan serupa yang mewakili komuniti perniagaan di Kaltim bagi meningkatkan lagi aktiviti perniagaan di antara Sarawak dan Kalimantan.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dilaporkan berkata syarikat Malaysia harus mengambil peluang daripada prospek pelaburan di wilayah Kalimantan Timur, terutamanya di Samarinda dan Balikpapan berhampiran dengan ibu kota baharu Nusantara.

Beliau juga bercakap tentang usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), termasuk laluan udara, darat dan laut serta inisiatif seperti grid tenaga ASEAN.

Syed Md Hasrin yang mengadakan lawatan kerja selama tiga hari di Nusantara berhasrat untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi dan hubungan persahabatan di antara Malaysia dan Indonesia dalam rangka kerja ASEAN.

-- BERNAMA