SARAWAK OIL PALMS SERAH LEBIH 179,000 TAN PME PADA TAHUN LEPAS

Kementerian Perladangan dan Komoditi - KPK fb
27/04/2024 07:14 PM

BINTULU, 27 April (Bernama) -- Sarawak Oil Palms Bhd (SOP) telah menyerahkan sejumlah 179,578.69 tan metrik metil ester sawit (PME) kepada depoh syarikat minyak dan gas Petronas dan Shell di seluruh Sarawak pada tahun lepas, meningkat daripada 161,671.96 tan pada 2022.

Ketua Pegawai Operasi SOP Eric Kiu Kwong Seng berkata angka itu turut mencerminkan komitmen syarikat dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian tenaga mampan di negara ini.

“Selain itu, eksport gliserol mentah kami turut meningkat ketara kepada 22,244 tan pada 2023 yang membuktikan kualiti dan kebolehpercayaan produk kami di peringkat global," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Kilang Penapisan dan Pemecahan 2 syarikat itu di Fasa 2 Kawasan Perindustrian Kidurong di sini, hari ini, yang disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kiu turut berkongsi komitmen SOP mengukuhkan prospek masa depan dengan merealisasikan visi sebagai kumpulan perladangan kelapa sawit bersepadu sepenuhnya di Sarawak.

Menurutnya, loji biodiesel syarikat itu di Kawasan Perindustrian Kidurong berkenaan dan mematuhi piawaian alam sekitar yang ketat, juga berupaya memproses sehingga 600 tan sehari manakala kilang fitonutrien pula berkapasiti pengeluaran harian sebanyak 300 tan.

Menerusi anak syarikat milik penuhnya, SOP Industries Sdn Bhd, SOP menerajui pembangunan Kompleks Hiliran Minyak Sawit yang berperanan penting dalam pengeluaran pelbagai produk hiliran minyak sawit, termasuk minyak sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), olein sawit RBD, minyak isirung sawit mentah, PME, gliserol dan metil ester sulingan.

Mengulas Kilang Penapisan dan Pemecahan 2 syarikat yang beroperasi sejak Ogos 2022, Kiu berkata ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produk hiliran minyak sawit, meningkatkan kapasiti syarikat bagi penghasilan produk premium dan pecahan pertengahan sawit.

Beliau turut berkongsi harapan syarikat untuk terus meraih sokongan berterusan kerajaan, terutamanya dalam industri penapisan minyak di Sarawak termasuk bagi sektor eksport.

"Sokongan ini amat penting bagi membolehkan kami meneruskan usaha mengangkat industri untuk meraih kecemerlangan," katanya.

-- BERNAMA