12,000 KOTAK MAKANAN UNTUK PETUGAS KESELAMATAN DI SARAWAK SEMPENA AIDILFITRI

20/03/2024 04:08 PM

KUCHING, 20 Mac (Bernama) -- Sejumlah 12,000 kotak sumbangan berbentuk makanan sempena Program Sumbangsih Raya 2024  (SR24) akan diagihkan kepada 11 agensi penguat kuasa yang bertugas di Sarawak pada sambutan Aidilfitri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata sumbangan itu adalah tanda keprihatinan serta penghargaan kerajaan negeri terhadap pengorbanan anggota keselamatan dan penguat kuasa yang bertugas.

"Sumbangsih Raya pada kali ini menyediakan lima jenis barangan makanan dan minuman iaitu serunding daging, kek buah, kacang botak serta kopi dan teh 3 dalam 1 untuk dinikmati oleh petugas semasa hari raya nanti.  

"Selain itu kita juga telah menyediakan kad ucapan hari raya sebagai tanda ingatan kerajaan Sarawak kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran," katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Fatimah berkata tahun ini merupakan kali ke-34  negeri itu mengadakan Program Sumbangsih Raya yang mula diperkenalkan pada 1990 oleh Biro Wanita yang kini dikenali sebagai Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.

"Sebelum ini dikenali sebagai Sejambak Kasih dan program ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) lebih 20 tahun dengan nama Sumbangan Sempena Hari Perayaan.

"Ia merupakan program utama JKMS yang dilaksanakan sempena perayaan penting di negeri ini seperti, Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Hari Gawai Dayak, Deepavali dan Krismas bagi memberikan keceriaan serta kegembiraan kepada golongan sasar dan klien JKMS pada musim perayaan," katanya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada majlis itu turut mencadangkan agar sumbangan tersebut ditambah dengan pek mi segera pada tahun akan datang bagi mempelbagaikan lagi pilihan makanan. 

-- BERNAMA