PETRA TUBUH JAWATANKUASA PENYELARAS, PANTAU PELAKSANAAN PROJEK AIR DI SARAWAK

18/03/2024 10:16 PM

KUCHING, 18 Mac (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan menubuhkan jawatankuasa penyelaras di negeri ini bagi memastikan program serta projek yang dirancang oleh kementerian itu dapat dilaksanakan dengan baik.

PETRA dalam kenyataannya memaklumkan cadangan tersebut juga telah dipersetujui bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Wisma Bapa hari ini.

"Fadillah yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching di Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak," menurut kenyataan itu.

Menurut  kenyataan itu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kementerian itu telah meluluskan sejumlah 46 projek di bawah sektor air Sarawak yang melibatkan 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos keseluruhan RM6.01 bilion.

Kenyataan itu juga memaklumkan bagi tahun ini sejumlah RM298 juta peruntukan telah diluluskan bagi pelaksanaan projek perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu, pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian dalam pelaksanaan projek kerajaan untuk menjamin impak yang maksimum kepada rakyat Sarawak. 

"Pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang seperti mana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Gagasan berteraskan konsep Malaysia MADANI," katanya.

-- BERNAMA