BOMBA INGATKAN PENDUDUK TINGKAT LANGKAH KESELAMATAN SEMASA NAIK BOT

15/03/2024 07:42 PM

SIBU,15 Mac (Bernama) -- Penduduk mendiami sepanjang Hulu Batang Rajang yang masih menggunakan bot sebagai kaedah pengangkutan utama perlu mempertingkatkan langkah keselamatan pada musim hujan ketika ini bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit Timoty Barat berkata antara langkah keselamatan perlu diutamakan ialah menggunakan jaket keselamatan dan mengelakkan daripada membawa muatan berlebihan.

Beliau berkata paras air sungai yang tinggi dan arus deras memerlukan jurugan perahu sentiasa berjaga-jaga walaupun sudah biasa mengharungi keadaan sungai seumpama itu.

“Jangan pandang rendah keadaan arus deras walaupun mahir berenang dan biasa mengharunginya. Sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada dalam bot dan elakkan melalui kawasan terdapat pusaran air terutamanya dalam keadaan arus deras,” katanya kepada Bernama.

Peringatan itu diberikan susulan tragedi bot karam di Batang Baleh berhampiran Sekolah Kebangsaan Lepong Balleh pada 7 Mac lepas yang mengorbankan nyawa dua anggota polis dan dua orang awam, manakala seorang awam berjaya diselamatkan di lokasi kejadian.

Ketika kejadian kedua-dua anggota polis itu dilaporkan dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram bersama bahan peledak untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan sejurus mendapat laporan kejadian itu berjaya menemukan tiga mangsa dua hari selepas kejadian, dengan mayat Sarjan Jonathan Lambet ditemukan terapung berhampiran Terminal Bot Ekspres Kapit.

Mayat dua orang awam, Jack Balan, 45, dan Amerson John Nain, 47, ditemukan hanyut lebih 160 kimoleter dari lokasi kejadian manakala mayat mangsa terakhir Konstabel Iskandar Ibrahim, 28, ditemukan terapung di Batang Rajang, berdekatan kawasan Seputin oleh orang awam pagi hari ini pada jarak 2 kilometer dari lokasi kejadian.

Timoty berkata tidak dapat dinafikan disebabkan terbiasa, masih ramai tidak memakai jaket keselamatan dan memandang lewa terhadap langkah keselamatan yang sepatutnya menjadi keutamaan.

-- BERNAMA