PROJEK JALAN UTAMA KEDUA BERI KESAN POSITIF DALAM PEMBANGUNAN SARAWAK - UGGAH

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
14/03/2024 05:50 PM

SEBUYAU, 14 Mac (Bernama) -- Projek pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) di Sarawak akan memberikan kesan positif kepada proses pembangunan di negeri itu, terutamanya dalam memendekkan masa perjalanan dan membuka kawasan setempat.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jarak perjalanan antara Sibu dan Kuching akan berkurang kepada kira-kira tiga jam, apabila projek bernilai RM1.055 bilion itu siap.

"Kedua, ia akan membuka satu lagi kawasan pedalaman yang luas kepada aktiviti ekonomi yang dapat menjana pendapatan," katanya selepas melawat tapak tiga pakej projek STR di sini hari ini.

Beliau berkata pakej pertama melibatkan pembinaan jalan raya dari Batang Samarahan ke Batang Sadong, pembinaan jambatan utama merentasi Sungai Batang Samarahan bagi pakej kedua, manakala pakej ketiga membabitkan projek jalan raya dari Batang Sadong ke Sebuyau/Jambatan Batang Lupar.

Jalan Batang Samarahan – Batang Sadong katanya, yang akan menjadi jalan empat lorong dua hala sepanjang 13.7 kilometer (km) dan Jambatan Batang Samarahan, menelan kos RM530 juta dan dijangka siap menjelang Februari 2027.

Mengenai pakej ketiga, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata ia melibatkan jalan dua lorong sehala dengan jarak 28 km melibatkan kos RM525 juta dan dijangka siap pada April 2028.

Beliau berkata lawatannya itu juga bagi memastikan pihak kontraktor mematuhi "Aku Janji/Aku Janji Sebulan" Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri iaitu kontraktor yang berjaya perlu berada di tapak dan telah melakukan beberapa aktiviti pembinaan dalam masa sebulan selepas dianugerahkan kontrak.

Uggah berkata kementeriannya dan JKR negeri perlu mengambil pendekatan yang amat ketat bagi memastikan setiap projek infrastruktur yang dilaksanakan siap mengikut jadual.

"Apabila projek diumumkan, rakyat akan mengharapkan ia dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA