BAZAR RAMADAN SIBU TAMPIL KONSEP WARONG MEGA

11/03/2024 11:02 PM

SIBU, 11 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini menampilkan kelainan tahun ini apabila konsep warong mega yang menjual pelbagai juadah digabungkan dengan kemudahan tempat berbuka puasa untuk pengunjung. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Innovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kemudahan tempat berbuka tersebut merupakan khemah besar yang dilengkapi meja dan kerusi terletak di tengah-tengah bazar.

Menurutnya walaupun jumlah lot gerai yang diperuntukkan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lepas, permintaan untuk lot berkenaan turut meningkat dan penganjur terpaksa mengehadkan jumlahnya bagi memastikan gerai tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersih serta tersusun. 

Beliau berkata melalui konsep warong mega itu sebanyak 108 gerai dapat didirikan dengan lebih teratur dan kemas, selain memberikan ruang lebih luas kepada pengunjung untuk bergerak dengan selesa tanpa perlu berasak-asak.

“Konsep bazar tahun ini berbeza daripada tahun sebelum ini. Ia seperti satu warong mega yang menjual pelbagai juadah berbuka, pada masa sama turut menyediakan khemah, meja dan kerusi untuk pengunjung berbuka puasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bazar tersebut hari ini.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka berkata pengusaha gerai diminta menyenaraikan nama juadah yang dijual untuk tujuan promosi dan memudahkan pelanggan membuat pilihan mengikut selera masing-masing.

Beliau berkata pada masa sama penganjur akan sentiasa membuat pemantauan kebersihan serta kualiti juadah berbuka yang dijual, selain pihak Jabatan Kesihatan juga akan membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

Menurutnya pengunjung yang tidak berpuas hati dengan kebersihan dan kualiti makanan yang mereka beli boleh membuat aduan melalui aplikasi WhatsApp yang disediakan penganjur dan tindakan segera akan diambil.

-- BERNAMA