POLIS TAHAN EMPAT LELAKI TERLIBAT KES PECAH RUMAH DI BINTULU

04/03/2024 05:22 PM

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Polis menumpaskan "Geng Njok" yang dianggotai empat lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam enam kes pecah rumah di bahagian Bintulu, dalam Op Pintu yang dijalankan pada 19 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Nixon Joshua berkata kesemua suspek yang berumur antara 23 dan 24 tahun itu telah mula bergiat aktif dalam kes pecah rumah sejak awal tahun.

"Modus operandi adalah dengan mengumpil tombol pintu rumah mangsa dengan menggunakan peralatan seperti pemutar skru, playar dan pencangkuk besi buatan sendiri.

"Hasil siasatan awal, polis telah merampas barangan bernilai RM33,754 hasil daripada tiga kes atas pengakuan suspek. Rampasan terbabit melibatkan barang kemas seperti enam bentuk cincin, seutas rantai, dua unit tablet dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nixon berkata hasil daripada saringan air kencing, tiga daripada suspek didapati positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 14 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA