FAMA FEST 2024@SARAWAK SASAR 25,000 PENGUNJUNG, SETENGAH JUTA NILAI JUALAN

Laman Sosial Rasmi FAMA Negeri Sarawak fb
02/03/2024 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- FAMA Fest 2024 @ Sarawak yang berlangsung di Bintang Mega Mall, Miri bermula semalam hingga Isnin ini disasarkan meraih nilai jualan sebanyak RM500,000 dengan jangkaan kehadiran 25,000 pengunjung.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam kenyataan hari ini berkata seramai 34 usahawan pemasar yang terdiri daripada usahawan tempatan Sarawak dan Semenanjung, akan membuat jualan seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam pada program empat hari itu.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata program edisi ketiga itu bertujuan mengetengahkan dan mempromosikan produk keluaran makanan usahawan tempatan kepada masyarakat tempatan khususnya di Miri serta penduduk negara jiran, Brunei.

Kenyataan sama memaklumkan FAMA Fest 2024 @ Sarawak juga berperanan sebagai medan pertemuan agensi kerajaan, para petani dan usahawan yang akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan pada harga munasabah dan mampu dibeli oleh pengguna.

“FAMA Fest 2024 @ Sarawak ini turut mengadakan Jualan Agro MADANI bagi memudahkan para pengunjung mendapatkan barangan keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai produk pertanian dengan harga penjimatan sehingga 30 peratus.

“Juga terdapat jualan 200 SKU (Stock Keeping Unit) produk agromakanan dan Kombo MADANI, padanan perniagaan melibatkan ejen pemasar dari Brunei, Thailand, Hong Kong, Kemboja, China dan pasaran tempatan (Emart dan Everrise) selain demo masakan dan pertandingan gubahan buah-buahan,” menurut kenyataan itu.

FAMA turut menyasarkan sebanyak 15 tan metrik jualan buah-buahan dan sayur-sayuran pada program itu.

-- BERNAMA