PETROS, PETRONAS DAN KONSORTIUM JEPUN METERAI PERJANJIAN BANGUNKAN TAPAK SIMPANAN KARBON

29/02/2024 06:25 PM

KUCHING, 29 Feb (Bernama) -- Petroleum Sarawak Bhd (Petros), anak syarikat Petronas, CCS Ventures Sdn Bhd, serta tiga pihak konsortium Jepun memeterai perjanjian tapak penyimpanan (SSA) bagi medan minyak tersusut M3, di luar pesisir Sarawak pada Isnin.  

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak berkenaan berkata perjanjian itu bagi membolehkan kajian kebolehlaksanaan tapak penyimpanan karbon dioksida (CO2) dilakukan, bermula dengan medan minyak tersusut M3, dan juga perancangan pembangunan tapak penyimpanan CO2.

"Ini termasuk terminal darat dan saluran paip pengangkutan, serta penilaian kebolehlaksanaan tekno-komersialnya.

"Kerjasama ini membuktikan kemajuan ketara dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di Asia Pasifik, termasuk Malaysia dan Jepun,” kata kenyataan itu.

Konsortium Jepun itu terdiri daripada Japan Petroleum Exploration Co Ltd. (JAPEX), JGC Holdings Corp (JGC) dan Kawasaki Kisen Kaisha Ltd (“K”LINE).

Perjanjian itu dimeterai oleh Naib Presiden Kanan Petros, Pengurusan sumber Sarawak Nazrin Banu Shaikh S. Ahmad, dan Ketua Pegawai Eksekutif CCS Ventures Emry Hisham Yusoff.

Sementara itu, konsortium Jepun diwakili pegawai eksekutif pengurusan JAPEX dan Presiden Bahagian Perniagaan Luar Negara II Yamada Tomomi; pegawai eksekutif kanan JGC, pegawai pengkomersialan teknologi Aika Masahiro; dan pegawai eksekutif pengurusan “K”LINE untuk promosi neutral karbon Kanamori Satoshi.

Menurut Nazrin perjanjian itu menandakan komitmen Petros sebagai enjin pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam memanfaatkan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.

"Ini adalah projek pertama untuk industri dan dorongan kepada lebih banyak projek penyelesaian karbon rendah," katanya.

Emry pula berkata kerjasama dan pencapaian itu akan menjadi pendorong kepada inisiatif penyimpanan pemerangkapan karbon (CCS) lain di Malaysia.

Sementara itu, wakil pihak konsortium Jepun, Yamada berkata beliau percaya kepakaran setiap syarikat mampu menyumbang merealisasikan rantaian nilai CCS Sarawak, untuk proses penyahkarbonan rantau Asia Pasifik, termasuk Jepun.

-- BERNAMA