SARAWAK BAKAL EKSPORT HIDROGEN MENJELANG 2027 - ABANG JOHARI

Credit: UKAS
26/02/2024 05:13 PM

KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin negeri itu berpotensi untuk mengeksport hidrogen apabila siapnya hab hidrogen menjelang tahun 2027.

Beliau berkata perkara itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan Sarawak kini sudah mempunyai loji pengeluaran hidrogen dengan kerjasama Gentari Sdn Bhd dan SEDC Energy.

Katanya Jepun dan Korea Selatan antara negara yang melahirkan minat untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui itu. 

"Sarawak kini berada di landasan yang betul. Kita bekerjasama dengan pemain-pemain industri tenaga seperti Gentari dan juga pihak Jepun dan Korea Selatan.

"Pada masa akan datang hidrogen bukan sahaja untuk kegunaan industri, tetapi juga untuk kegunaan domestik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis itu Abang Johari turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian pembangunan di antara SEDC Energy yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Robert Hardin dengan Sarawak Metro yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mazli Mustaffa untuk pembangunan Loji Rembus H2 bagi menyokong Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

SEDC Energy dalam kenyataan memaklumkan, menerusi perjanjian itu pihaknya akan bertanggungjawab membangun, membina, mentauliahkan, mengendalikan dan menyelenggara loji pengeluaran hidrogen dan stesen pengisian.

"Kemudahan Loji dan Pengisian Rembus H2 adalah untuk mengeluarkan, membekal, mengisi dan mengedar hidrogen serta produk-produk dan bahan-bahan berkaitan untuk sistem Transit Aliran Autonomi (ART)," jelas kenyataan itu.

SEDC Energy adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak yang bertanggungjawab memacu agenda tenaga baharu Sarawak dan pembangunan hidrogen bersama dengan perniagaan runcit petroleum hilirannya.

-- BERNAMA