NASIHAT "MENAK DAAU BERPADA-PADA MENAK JAAT KAK SEKALI" TERSEMAT HINGGA KINI - SEPUPU ABDUL TAIB

Mastura Rapaee
21/02/2024 05:33 PM

KUCHING, 21 Feb (Bernama) -- “Menak daau berpada-berpada menak jaat kak sekali (buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali),” nasihat dalam dialek Melanau Mukah oleh bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang kekal terpahat di hati sepupu Allahyarham, Mastura Rapaee.  

Meluahkan rasa duka citanya, Mastura, 57, yang merupakan anak jati Melanau Mukah itu berkata nasihat serta pesanan oleh sepupu sulungnya itu akan diingat sampai bila-bila.

Apatah lagi, beliau berkata raut wajah Allahyarham Abdul Taib saling tidak tumpah dengan dengan arwah bapanya, Rapaee Abang Yahya yang merupakan adik bongsu kepada bapa bekas Ketua Menteri itu, iaitu Mahmud Abang Yahya.

“Pesanan arwah yang paling saya ingat dan amalkan hingga kini, kalau orang baling batu dengan kita jangan baling balik…(tapi) ambil batu itu jadikan empayar.

“Segala tunjuk ajar dan tegurannya akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui  di kediaman persendirian Abdul Taib di Demak Jaya, di sini hari ini.

Mastura yang menetap di Kuching memaklumkan beliau menerima perkhabaran menyedihkan itu sebelum subuh pagi tadi.  

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi tadi dan pengurusan jenazah Allahyarham telah dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang. 

Kerajaan Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan jenazah akan dibawa ke rumah Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako hari ini sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) esok bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir bermula dari 8 pagi hingga 11.30 pagi.

Selepas itu, jenazah dijadualkan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

-- BERNAMA