SIBU MAMPU JADI HAB PENGISIAN METANOL HIJAU BAGI PERKAPALAN - ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (second, right), Sarawak Deputy Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian
18/02/2024 02:19 PM

SIBU, 18 Feb (Bernama) -- Sibu, yang menempatkan industri pembinaan dan pembaikan kapal yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, mampu berperanan sebagai hab kemudahan pengisian bahan api di Sarawak untuk membekalkan metanol hijau kepada syarikat perkapalan antarabangsa.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu seiring dengan usaha Sarawak untuk  menghasilkan metanol hijau yang mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa memandangkan dunia kini beralih kepada tenaga hijau.

Beliau berkata pada masa ini syarikat perkapalan menukar enjin minyak kepada yang menggunakan metanol hijau bagi membekalkan kuasa pada kapal manakala kebanyakan bank di peringkat antarabangsa mengambil kira penggunaan tenaga hijau untuk meluluskan pinjaman.

“Pada masa ini Sibu menghasilkan banyak kapal dan (pemilik) mahu menukar daripada enjin yang menggunakan bahan api minyak kepada enjin metanol, jadi, sudah tentu, mereka memerlukan metanol hijau untuk menggerakkan kapal.

“Ini bermakna (industri pembinaan dan pembaikan kapal di Sibu) akan mempromosikan pelabuhan kita sebagai hab kemudahan pengisian bahan api untuk syarikat perkapalan antarabangsa,” katanya semasa berucap pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu 2024 di sini, Sabtu.

Abang Johari berkata Sarawak kini mengorak langkah aktif ke arah ekonomi hijau.

“Sememangnya perlu untuk membuat dasar ekonomi hijau boleh suai yang boleh mengikut keperluan dan kehendak semasa,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hasil Sarawak pada 2024 akan terus mencatatkan peningkatan berbanding hasil tahun lepas, apabila negeri itu mengutip RM13 bilion -- meningkat daripada RM11 bilion pada 2022.

Sebagai perbandingan Sarawak hanya mampu mencatatkan pendapatan RM6 bilion pada enam tahun sebelumnya, katanya.

Premier memberi jaminan bahawa walaupun pendapatan lebih tinggi, Sarawak tidak akan berbelanja berhabis-habisan, kerana sebahagian daripadanya akan disimpan untuk keperluan masa hadapan.

Beliau berkata Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai dana kekayaan berdaulat.

-- BERNAMA