MALAYSIA DI LANDASAN TEPAT UNTUK DAPAT PENGIKTIRAFAN MSPO DARIPADA EU - TPM FADILLAH

17/02/2024 05:38 PM

KUCHING, 17 Feb (Bernama) -- Malaysia berada di landasan tepat untuk mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kesatuan Eropah (EU) bagi mengiktiraf piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kepimpinan EU dijangka mengumumkan perkara tersebut selewat-lewatnya Jun depan.

“Kita (Malaysia) mahu MSPO diiktiraf supaya pekebun kecil tidak tersisih atau terpinggir dengan Peraturan Produk Bebas Penebangan hutan Kesatuan Eropah (EUDR). 

“Ini perkhabaran baik…apabila MSPO kita diiktiraf maknanya produk komoditi tempatan yang kita keluarkan tidak perlu diaudit mereka,” katanya selepas majlis penyerahan geran tahunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Parlimen Petra Jaya 2024, di sini, hari ini. 

Beliau berkata perkhabaran baik itu dikongsikan menerusi sesi sumbang saran (brainstorming) bersama delegasi EU yang telah berada di negeri ini sejak Rabu lepas bagi program Hari Perniagaan serta Pelancaran Invest Malaysia di bandar raya ini.

Pada Mei tahun lepas, Fadillah pada ketika itu memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi mengadakan lawatan rasmi serta misi perdagangan ke Brussels, Belgium bagi menjelaskan pendirian negara-negara anggota Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC) mengenai pelaksanaan EUDR. 

Sebagai ahli CPOPC, Malaysia komited untuk terbabit secara aktif dalam platform berkenaan dan meneruskan agenda menentang kempen negatif negara Barat terhadap minyak sawit.

Terdahulu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menyampaikan sejumlah RM255,000 geran kepada 85 JKKK di bawah parlimennya. 

-- BERNAMA