OMBAK BESAR PUNCA  BATU TUNGGUL IKONIK BAKO RUNTUH - SFC

Credit: Sarawak Forestry Corporation's Facebook
14/02/2024 09:59 AM

KUCHING, 14 Feb (Bernama) -- Batu tunggul ikonik di Taman Negara Bako yang dikenali sebagai ‘The Cobra Head Sea Stack’ yang runtuh semalam berkemungkinan besar disebabkan oleh kejadian ombak besar.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook hari ini memaklumkan kejadian itu dilaporkan pertama kali oleh seorang pemandu taman pada pukul 4 petang semalam.

Menurut SFC kejadian ombak besar baru-baru ini adalah kemuncak yang menyebabkan kejadian runtuhan, susulan daripada hakisan yang berlaku sejak berjuta tahun lalu di pantai Sarawak.

“Tungul laut ini merupakan satu daripada khazanah geologi negara, yang terbentuk daripada batu pasir  melalui proses hakisan selama berjuta tahun lalu.

“Pembentukan uniknya telah menarik perhatian ramai pengunjung, kejadian tanjung berbatu yang membentuk tungul laut yang unik dan gerbang laut itu sentiasa memukau pelancong,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFC Abang Arabi Abang Aimran dalam kenyataan sama melahirkan rasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita tersebut.

Beliau berkata batu tunggul berkenaan bukan sahaja mempunyai keunikan keindahan alam semula jadi tersendiri, malah penting kepada industri pelancongan tempatan, khususnya bagi pengusaha-pengusaha bot di Taman Negara Bako.

"Khazanah alam ini kadangkala boleh dipulihkan dan kadangkala tidak boleh diganti. Satu set gerbang laut ikonik dan tunngul batu yang serupa di Victoria, Australia yang dikenali sebagai 12 Apostles, akhirnya turut menyaksikan keruntuhan kejadian alam itu.

"Kini hanya tinggal 8 tunggul berbanding 12 tunggul pada asalnya,” katanya.

-- BERNAMA