TAHUN BAHARU CINA: 'MAKAN BESAR' DEKATKAN KELUARGA YANG JAUH DI MATA

09/02/2024 08:55 PM

KUCHING, 9 Feb (Bernama) -- Tradisi 'makan besar' di rumah bersama seisi keluarga pada malam Tahun Baharu Cina yang begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Cina perlu dipelihara bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.

Bagi Nurqhadiya Abdul Kadir, 26, aktiviti 'makan besar' di kampung halamannya iaitu Kampung Muara Ahi, Serian, memberinya peluang untuk berjumpa semula ahli keluarga yang jauh di mata, namun dekat di hati.

"Perjalanan selama dua jam untuk ke kampung saya dari Kuching… makan besar sememangnya tradisi untuk semua ahli keluarga sebelah emak saya yang tinggal di luar dan dalam negara berkumpul, masak serta makan bersama-sama. 

"Untuk tahun ini yang menariknya ada lima generasi berkumpul untuk Tahun Baharu Cina, bermula daripada datuk yang berbangsa Cina hingga anak kepada anak saudara saya," katanya yang berdarah Melayu dan Cina-Bidayuh itu kepada Bernama. 

Dalam pada itu, pekerja bidang perubatan, Crystal Wong, 26, berkata tahun ini dia sekeluarga memilih untuk memesan makanan dari restoran dan menikmatinya di rumah abangnya di sini.

"Tahun ini kali pertama keluarga berkumpul di Kuching. Lazimnya kami akan masak di rumah, namun kali ini kami hanya pesan makanan dari restoran dua minggu sebelum 'makan besar'," katanya yang berasal dari Sibu. 

Menurut Wong antara aktiviti yang dilakukan pada malam Tahun Baharu Cina ialah melihat pertunjukan bunga api dan permainan dalaman bersama keluarga tersayang. 

Selain memilih untuk mengadakan 'makan besar' di kediaman masing-masing, tinjauan Bernama turut mendapati restoran dan hotel di sekitar bandar raya ini yang menghidangkan juadah istimewa sempena tradisi berkenaan kebanyakannya penuh ditempah oleh golongan yang meraikan perayaan itu. 

Pada tahun ini, masyarakat Cina seluruh dunia menyambut Tahun Naga yang dianggap membawa tuah berganda dalam kalendar zodiak Cina.

-- BERNAMA