RABIES: 394 VETERAN ATM DI SARAWAK JADI SUKARELAWAN IBET

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
26/01/2024 01:05 PM

KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Seramai 394 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini telah diambil sebagai sukarelawan pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) bagi mengekang penularan wabak rabies di pintu masuk Sarawak, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) berkata kesemua anggota veteran ATM itu telah digerakkan untuk mengawal sepanjang sempadan negara yang terletak di penghujung selatan hingga utara negeri, iaitu dari Lundu hingga Ba'kelalan. 

“Mereka ditempatkan di kawasan sempadan dan secara ‘bergerak’ (mobile), jadi bukan berada di pos sempadan… kita kenal pasti bahawa penyakit rabies dibawa dari negara jiran menerusi pintu sempadan apabila anjing kita ke sana, dan apabila ia kembali, haiwan ini kembali bersama wabak.

“Kita tak bunuh haiwan yang didapati terkena jangkitan, apa yang kita lakukan ialah kita asingkan anjing berkenaan secara bersasar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara ‘Menyimen’ Kubur Bujang Berani Mendiang Mejar Micheal Riman Bugat di Makam Pahlawan, di sini, hari ini. 

Menurutnya, kebanyakan anggota veteran ATM yang terlibat mendiami kawasan rumah panjang berdekatan sempadan negara, sekali gus memudahkan pergerakan mereka untuk membuat kawalan dan melakukan penguatkuasaan.

Terdahulu, majlis berkenaan menyaksikan peletakan kalungan bunga di pusara mendiang Micheal Riman, oleh tetamu kenamaan dan ahli keluarganya.

Upacara ‘menyimen’ kubur merupakan simbol penghormatan terakhir kepada wira negara itu yang telah berbakti kepada negara.

Pernah menerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), mendiang meninggal dunia pada 7 Ogos tahun lepas pada usia 71 tahun. 

-- BERNAMA