UTS BERUSAHA CAPAI KEDUDUKAN ANTARA UNIVERSITI TERBAIK DUNIA

24/01/2024 06:17 PM

SIBU, 24 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi Sarawak sedang berusaha untuk mencapai kedudukan sebagai antara universiti terbaik di dunia.

Pengerusi Lembaga Pengelola UTS Datuk Dr Annuar Rapaee berkata ia boleh dilakukan dengan cara menarik lebih ramai ahli akademik yang berkelayakan tinggi untuk berkerja di universiti itu dan menyumbang kepada Sarawak.

Beliau berkata untuk berbuat demikian, universiti bertunjangkan teknologi itu perlu memastikan ia mempunyai kemudahan yang seiring dengan perkembangan terkini.

“Dengan kemudahan yang canggih kita boleh melakukan penyelidikan dan menerusi semua penyelidikan yang mereka hasilkan itu, mereka dapat mengeluarkan buku. Satu daripada faktor yang mampu meningkatkan ranking adalah melalui penerbitan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Pelancaran Buku Penerbit UTS di sini hari ini.

Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak I (Pendidikan dan Inovasi) melahirkan keyakinan bahawa dengan menarik minat ahli akademi untuk bekerja dengan UTS, universiti itu akan berjaya dari segi memperoleh ranking tinggi bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

Beliau berkata perjalanan universiti itu yang meraikan ulang tahunnya ke 10 tahun lepas, untuk mencapai kedudukan tersebut masih jauh kerana kebanyakan universiti utama dengan rangking tertinggi dunia berusia lebih 100 tahun.

Sementara itu, Naib Canserlor UTS Prof Datuk Khairuddin Abd Hamid berkata di Malaysia ranking universiti ditentukan menerusi kemajuan universiti berkenaan dan terdapat tempoh matang untuk mendapat penarafan, biasanya melebihi 25 tahun.

Dalam tempoh 10 tahun ini, UTS telah menjadi satu-satunya universiti di dunia yang dianugerahkan penarafan Platinum yang berprestij dalam Indeks Bangunan Hijau (GBI) bagi reka bentuk kampusnya yang menggalakkan kelestarian dalam aspek persekitaran binaan dan penggunaan tenaga.

Ia juga banyak melabur untuk kemudahan pengajaran-pembelajaran, terutama peralatan makmal yang canggih, infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan perkhidmatan, serta sumber lain untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi kerjasama rapat dengan rakan industri serta agensi kerajaan.

UTS juga telah menerokai program pengantarabangsaan termasuk mobiliti pelajar, pertukaran petugas, susunan artikuasi akademik dan projek penyelidikan bersama dengan universiti dari United Kingdom, Australia, Eropah, Jepun, China, Korea, Taiwan, India dan negara ASEAN. 

-- BERNAMA