TENGKU HASSANAL BERKENAN BERANGKAT KE MUZIUM KEBUDAYAAN BORNEO

16/01/2024 05:02 PM

KUCHING, 16 Jan (Bernama) -- Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Muzium Kebudayaan Borneo di sini yang menampilkan jalan cerita Sarawak serta pameran koleksi asli muzium.

Keberangkatan tiba Tengku Hassanal pada 1.10 tengah hari tadi disambut oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jadu dan Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Baginda meluangkan masa kira-kira hampir dua jam untuk melihat koleksi yang berkaitan  dengan masyarakat Borneo yang memaparkan pelbagai kebudayaan dan sejarah di beberapa galeri utama seperti Galeri Objek Idaman, Galeri Peredaran Masa dan Galeri Keharmonian Alam dan Manusia.

Pagi tadi, Tengku Hassanal telah berkenan berangkat ke pejabat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di Icom Square dan Menara Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi mendengar taklimat ringkas berkenaan Strategi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon Sarawak manakala di Menara SEB, baginda berpeluang memandu uji kereta hidrogen.

Malam ini, baginda dijadualkan berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam di sebuah hotel terkemuka di sini yang akan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

-- BERNAMA