CAPAIAN INTERNET, TABURAN PENDUDUK ANTARA CABARAN DOSM SARAWAK JAYAKAN PENDAFTARAN PADU

04/01/2024 04:29 PM

KUCHING, 4 Jan (Bernama) -- Capaian internet di kawasan luar bandar dan situasi taburan penduduk di Sarawak menjadi antara cabaran yang perlu ditempuh pasukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sarawak untuk memastikan penduduk di negeri ini mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU). 

Pengarah DOSM Sarawak Dayang Rozana Abang Hassan berkata mengambil kira keluasan Bumi Kenyalang yang merupakan negeri terbesar di Malaysia, pihaknya merancang membuat penyelarasan dengan ketua komuniti untuk bertindak sebagai ‘ejen’ kepada penduduk kawasan masing-masing bagi mengisi maklumat di Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

“Penyelarasan perlu dibuat dengan penghulu, ketua kampung dan tuai rumah, untuk komuniti ini mempromosi dan memberi publisiti serta meminta penduduk kawasan masing-masing masuk (layari) portal PADU, kerana kita mahu galakkan mereka isi sendiri maklumat yang diperlukan. 

“Untuk beberapa minggu ini, pegawai DOSM Sarawak tertumpu kepada lokasi PEDi sebab kita nak galakkan orang hadir dan isi sendiri di portal awam, dan sekiranya tidak berjaya, kami akan bimbing mereka secara terus di PEDi,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Dayang Rozana berkata rakyat yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu diberikan penerangan sewajarnya manfaat mendaftar dengan PADU untuk membolehkan mereka membuat pengemaskinian maklumat isi rumah dan profil individu di sistem itu. 

Katanya pegawai DOSM telah ditempatkan di 40 kaunter melibatkan 31 PEDi di Sarawak dan sembilan pejabat DOSM Sarawak, bermula dari 2 hingga 8 Jan ini untuk membantu orang ramai memahami kepentingan sistem berkenaan.

“Secara keseluruhan, Sarawak mempunyai 133 PEDi dan disebabkan kita kekurangan anggota untuk hadir di semua PEDi, kita buat secara bergilir-gilir, dan berusaha untuk mengunjungi semua 133 PEDi dalam masa sebulan berdasarkan tarikh tertentu,” katanya.

Memasuki hari ketiga pelancaran PADU, pengarah negeri itu memaklumkan orang ramai yang hadir ke PEDi setakat ini terdiri daripada mereka yang tidak bekerja seperti suri rumah serta warga emas dan jumlah itu dijangka meningkat pada hujung minggu. 

Katanya perancangan lain untuk menjayakan pendaftaran PADU termasuk bekerjasama dengan pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT), selain mewujudkan ‘flying squad’ yang lebih tertumpu di kawasan bersasar khususnya di pedalaman. 

“Untuk ‘flying squad’ kita akan berikan kemudahan seperti liputan Internet yang kuat jadi kita akan membawa Starlink dan buka kaunter untuk penduduk, namun lokasi akan dikenal pasti nanti selepas berbincang dengan pejabat daerah dan PBT,” katanya sambil menambah petugas ‘flying squad’ akan digerakkan oleh Ibu Pejabat DOSM. 

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

-- BERNAMA