PUSAT JANTUNG SARAWAK SUMBANG RM100,000 UNTUK SUBSIDI, TAJA PESAKIT JALANI UJIAN GENETIK

04/01/2024 02:25 PM

KUCHING, 4 Jan (Bernama) -- Pusat Jantung Sarawak menyumbang RM100,000 khusus untuk memberi subsidi atau menaja pesakit daripada golongan berpendapatan rendah bagi menjalani ujian genetik penyakit kardiovaskular yang diwarisi, di pusat berkenaan.

Sejak dibangunkan pada tahun 2021, dana yang dimulakan oleh pakar perunding kardiologi Dr Oon Yen Yee itu telah memberi manfaat kepada 58 pesakit, termasuk lapan kanak-kanak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pusat itu Dr Oon berkata ujian genetik boleh membantu mengesahkan diagnosis penyakit kardiovaskular yang diwarisi, membolehkan doktor menyediakan rawatan individu dan bersasar untuk pesakit.

"Ia juga boleh membantu mengurangkan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan ahli keluarga, kerana melalui saringan genetik, mereka yang tidak membawa gen tidak akan dijangkiti penyakit itu," katanya.

Menurutnya ujian genetik yang dijalankan di Pusat Jantung Sarawak dihantar kepada syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang dipanggil INVITAE, dan dengan kos semasa US$349 (RM1,619) setiap ujian, pesakit perlu membayar sehingga RM1,900 untuk ujian berkenaan.

Menurut kenyataan itu Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan telah memulakan perkhidmatan klinik kardiogenetik tahun lepas untuk menjadi pusat jantung pertama di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang mempunyai klinik sedemikian.

Klinik ini dikendalikan oleh pakar genetik bertauliah dari Hospital Besar Kuala Lumpur untuk menyediakan penilaian kardiovaskular yang komprehensif, kaunseling genetik, ujian dan pelan rawatan individu.

Walaupun masih belum ada penawar bagi kebanyakan penyakit kardiovaskular yang diwarisi, Dr Oon beliau berkata beberapa kajian yang dijalankan telah menunjukkan hasil memberangsangkan, yang menunjukkan ia boleh dirawat.

“(Pada masa ini) rawatan yang diberikan adalah terutamanya untuk mengurangkan simptom dan pencegahan kematian akibat serangan jantung, tetapi terdapat kajian yang meneliti rawatan disasarkan kepada gen yang bermutasi, dan penemuan menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

"Pada masa hadapan, rawatan penyiasatan yang dipanggil terapi gen ini mungkin menawarkan penawar lengkap untuk penyakit kardiovaskular yang diwarisi," tambahnya.

-- BERNAMA