DASAR PENDIDIKAN TINGGI PERCUMA SARAWAK TIDAK AKAN AKIBATKAN KENAIKAN CUKAI

Dr Annuar Rapaee (File pix)
28/12/2023 08:38 PM

KUCHING, 28 Dis (Bernama) -- Dasar pendidikan tinggi percuma Sarawak yang dijangka dilaksanakan pada 2026 tidak akan menyebabkan kenaikan cukai atau pengurangan di dalam pembangunan sektor-sektor lain, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata sebaliknya dasar itu boleh dipertahankan menerusi satu model kewangan kukuh yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam tahun-tahun sebelum ini , dan ini  terbukti apabila Sarawak terus menyaksikan kenaikan pendapatannya beberapa tahun lepas.  

“Kami tahu pendapatan kami akan meningkat. Sarawak mencatatkan pendapatan sebanyak RM13.1 bilion  pada 2023 … Keluaran Dalam Negara Kasar kami juga dijangka meningkat,” katanya kepada pemberita dalam satu wawancara menerusi aplikasi Zoom di sini hari ini.

Pada 22 Nov lepas, Dr Annuar dilaporkan berkata 25,000 penuntut Sarawak di negeri ini dijangka menerima manfaat daripada dasar pendidikan tinggi percuma itu nanti.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 1 Okt lepas berkata pendidikan percuma di universiti serta institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak adalah untuk anak jati Bumi Kenyalang dan dijangka dilaksanakan pada 2026.

Beliau berkata unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 telah memberikan keyakinan kepadanya untuk menetapkan jangkaan itu oleh kerajaan negeri.

 -- BERNAMA