PETROS NIAGA LABUR LEBIH RM50 JUTA KUKUHKAN RANGKAIAN BEKALAN

Datuk Julaihi Narawi (File photo)
22/12/2023 05:45 PM

KUCHING, 22 Dis (Bernama) -- Petros Niaga Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petroleum Sarawak Bhd (Petros), telah melabur lebih RM50 juta untuk mengukuhkan rangkaian bekalannya.

Petros Niaga menjadi pengedar tunggal gas petroleum cecair (LPG) negeri untuk sektor isi rumah, komersial dan perindustrian pada 1 Disember berikutan lesen pengedaran MyGaz Sdn Bhd yang tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Datuk Seri Julaihi Narawi berkata pelaburan itu juga akan menaik taraf kapasiti penyimpanan, pengisian silinder gantian dan meningkatkan pengurusan logistik bagi memastikan antara lain, kos sifar bagi pertukaran silinder oleh pelanggan di seluruh Sarawak.

“Tiada penyerapan kos oleh Kerajaan Sarawak untuk silinder gas LPG bersubsidi,” katanya.

Julaihi berkata Petros Niaga telah mewujudkan rangkaian pembekalan pengedaran yang terdiri daripada 65 pengedar dan 280 pengedar kecil di seluruh Sarawak, termasuk pengedar, pengedar kecil dan peruncit MYGaz yang telah beralih kepada rangkaian pengedaran Petros Niaga.

Beliau berkata sejak 1 Disember, pertukaran silinder merah atau hijau Petros telah berjalan lancar di kebanyakan kawasan di Sarawak, dan kira-kira 165,000 silinder kuning di seluruh negeri telah ditukar dalam tempoh tiga minggu.

Julaihi berkata ini mewakili lebih 50 peratus daripada pertukaran yang dijangka, melepasi tempoh tiga bulan yang disasarkan untuk proses pertukaran ini.

"Pelanggan digesa supaya tidak panik kerana tiada had masa untuk pertukaran silinder, dan pelanggan dinasihatkan untuk menukar apabila silinder mereka kosong. Tiada caj tambahan dikenakan kepada pelanggan untuk bertukar daripada silinder kuning kepada silinder LPG bersubsidi Petros.

“LPG bersubsidi untuk isi rumah adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan pada RM26.60 untuk diambil sendiri di mana-mana rangkaian pengedar Petros Niaga di seluruh Sarawak,” katanya.

Di bawah Ordinan Pengagihan Gas Sarawak, tiada individu atau perniagaan boleh mengedar atau menjalankan sebarang aktiviti berkaitan LPG, termasuk penjualan LPG di Sarawak, tanpa lesen sah yang dikeluarkan di bawah Ordinan.

Pelanggan digesa untuk menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Petros Niaga di 1300-88-2122 jika mana-mana pengedar, subpengedar atau peruncit mengenakan bayaran tambahan atau enggan menerima pertukaran silinder LPG Petros.

Semua pihak digesa memberi bekerjasama bagi mengelak berkongsi maklumat palsu dan tidak sahih yang boleh menyebabkan pembelian panik dan bekerjasama rapat dengan Petros Niaga serta pengedarnya bagi menyelesaikan sebarang isu dalam tempoh peralihan ini.

-- BERNAMA