SARAWAK BENTUK JAWATANKUASA KHAS SELIA KERJASAMA O&G DAN TENAGA HIJAU

18/12/2023 04:32 PM

SIBU, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sarawak telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk menyelia penglibatan negeri berkenaan dalam industri minyak dan gas (O&G) serta tenaga hijau susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat asing di Dubai baru-baru ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jawatankuasa itu yang akan bekerjasama dengan syarikat O&G milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) serta pengeluar tenaga Sarawak Energy Bhd (SEB) dalam membuat perancangan strategik bagi mempergiatkan penglibatan negeri itu dalam kerjasama tersebut.

“Petros telah menandatangani MoU dengan Mubadala (Petroleum) manakala SEB memeterai MoU dengan Masdar. Jadi kita akan ada satu jawatankuasa khas untuk penambahbaikan MoU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Daerah Selangau dan Selangau Riverfront yang baharu di sini hari ini.

Mubadala Petroleum, syarikat tenaga antarabangsa yang beribu pejabat di Abu Dhabi, mempunyai kerjasama dengan Petronas dalam operasi di luar pesisir Sarawak manakala Masdar, gergasi tenaga bersih dari Abu Dhabi, kini mempunyai pelaburan di Indonesia dalam solar terapung.

MoU itu ditandatangani semasa Persidangan Parti Ke-28 (COP28) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCC) di Dubai awal bulan ini.

Abang Johari berkata Sarawak diiktiraf kerana ia bukan sahaja mempunyai karbon bersih-sifar tetapi karbon negatif.

“Karbon bersih baharu, karbon negatif. Ini adalah perkataan terkini. Kita adalah karbon negatif, bermakna kurang karbon, lebih banyak oksigen. Jadi kita ada kelebihan itu dalam platform dunia ke arah tenaga hijau,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mengkaji pembinaan jalan masuk baharu ke perbandaran Selangau dari Lebuh Raya Pan Borneo bagi membolehkan lebih ramai orang berulang alik di lebuh raya untuk ke Selangau dan merancakkan aktiviti ekonomi di sana.

Katanya, peruntukan bernilai RM2 juta telah diluluskan untuk projek itu dan lebih banyak dana sedia diperuntukkan sekiranya peruntukan awal tidak mencukupi. 

Pada masa ini, Selangau menghadapi penurunan mendadak dalam angka pengunjung kerana jalan masuk sekarang dari lebuh raya adalah tidak sesuai.

-- BERNAMA