2023 SARAWAK TERUS SEJAHTERA, BANYAK MANFAAT HASIL HUBUNGAN RAPAT DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

12/12/2023 10:11 AM

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 12 Dis (Bernama) -- Tahun 2023 menjadi tahun yang cukup hebat buat Sarawak apabila pelbagai keputusan kerajaan pusat dilihat memberi banyak manfaat untuk kesejahteraannya, terutama dalam perkara yang berkaitan usaha gigih kerajaan negeri mengembalikan haknya sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hubungan erat kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan kerajaan Persekutuan, membina kerjasama kukuh di bawah payung besar Kerajaan Perpaduan, dan ia terbukti menjadi kunci terbaik dalam usaha membuka pintu penyelesaian dalam pelbagai isu.

Khabar baik buat Bumi Kenyalang bermula seawal 20 Jan di bandar raya Kuching apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan buat Sarawak, kepada RM300 juta berbanding hanya RM16 juta sebelum itu.

Menurut Anwar, jumlah yang dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 itu adalah pembayaran peringkat awal atau interim, sebelum satu formula khusus diumumkan nanti.

Pelantikan Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut diumumkan pada mesyuarat sama.

Selain itu, perbincangan serta rundingan dalam pelbagai perkara juga sedang berjalan lancar, antaranya berkaitan proses pengambilalihan MASWings bagi penubuhan syarikat penerbangan Sarawak, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, serta usaha menambah jumlah Ahli Dewan Rakyat negeri ini agar mewakili 35 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota Dewan Rakyat.

Ikrar kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan tuntutan MA63 juga telah disampaikan dalam ucapan Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di sini pada 16 Sept lepas, apabila beliau menyatakan “perkara dalam perjanjian itu bukan untuk dirundingkan tetapi perlu dilaksanakan”.

Tahun 2023 juga menyaksikan impian rakyat Sarawak untuk memiliki lebuh raya setaraf dengan di Semenanjung Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan apabila fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 kilometer sudah mencapai lebih 97 peratus setakat Ogos, dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Misi besar Sarawak untuk memodenkan pengangkutan awamnya juga semakin menyerlah dengan ketibaan prototaip kenderaan berkuasa hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART) pada 5 Ogos lepas.

Prototaip kenderaan yang dijangka membuka perkhidmatan penumpang mulai suku keempat 2025 itu menjadi kebanggaan buat rakyat Sarawak, lebih-lebih lagi semasa prototaip berkenaan menelusuri jalan raya di sekitar bandar raya Kuching kini bagi tujuan ujian serta penyesuaian.

Tahun ini juga menyaksikan Sarawak menjadi destinasi Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Rombongan Seri Paduka berdua bermula dari bandar paling utara Sarawak iaitu Lawas pada 7 Sept seterusnya ke kawasan lain Bumi Kenyalang seperti Bintulu, Sibu serta Kuching sebelum melengkapkan kembara di Kilometer Kosong Lebuhraya Pan Borneo di Telok Melano pada 13 Sept.

Kembara menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang merangkumi jarak sejauh 1,194 kilometer itu semestinya menjadi peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Bumi Kenyalang terutamanya dalam merapatkan jurang antara Istana dan rakyat.

Tahun 2023 Sarawak mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pertama sejak Pilihan Raya Negeri 2021 yang menyaksikan GPS membolot 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, 

Pada PRK 4 Nov itu GPS berjaya mengekalkan pemilikan kerusi Dewan Undangan Negeri Jepak apabila calonnya Iskandar Turkee menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing dengan majoriti 8,784 undi.

PRK yang diadakan susulan kematian Datuk Talib Zulpilip, 72, pada 15 Sept, sekali lagi membuktikan bahawa Sarawak menikmati kestabilan politik di bawah GPS.

-- BERNAMA