SARAWAK BANTU USAHA KERAJAAN PERSEKUTUAN LAHIR MODAL INSAN KEMAHIRAN TINGGI - ABANG JOHARI

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
11/12/2023 07:44 PM

KUCHING, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak akan melengkapkan usaha kerajaan persekutuan dalam menyediakan latihan teknikal dan vokasional untuk melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan invovatif serta berdaya saing tinggi dalam arus pembangunan negara.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dalam hal ini Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Negeri telah ditugaskan untuk bekerjasama dengan agensi lain dalam menerajui latihan teknikal di negeri ini.

“Kajian Universiti Malaysia Sarawak  pada 2014 menganggarkan menjelang 2030, lebih satu juta pekerjaan baharu akan diwujudkan di mana lebih 50 peratus atau lebih 600,000 pekerjaan adalah pekerjaan mahir dan separuh mahir.

"Kini kita (Sarawak) mempunyai 104 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) awam dan swasta di negeri ini dengan jumlah kapasiti kira-kira 30,000 pelatih. Institusi ini bersama-sama menghasilkan output tahunan kira-kira 11,000 pemegang sijil dalam kemahiran berbeza," katanya dalam ucapan penutupan Majlis Worldskills Malaysia (WMS) Sarawak 2023, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Abang Johari berkata Sarawak akan mewujudkan lebih banyak pusat latihan teknikal dan pada masa yang sama menyesuaikan kualiti program dan kursus sedia ada untuk memenuhi keperluan industri dalam pelbagai bidang.

"Pada kadar sekarang, kami hanya mampu melahirkan 500,000 pekerja mahir menjelang 2030. Kami perlu meningkatkan kapasiti latihan kami dengan ketara.

“Negeri akan memerlukan peningkatan tiga kali ganda dalam enrolmen program TVET bagi memenuhi keperluan negeri dan an negara," katanya.

 

Beliau berkata Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menganjurkan pertandingan kemahiran yang disokong padu oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan tujuan mengiktiraf belia berkemahiran tinggi dan meningkatkan kemahiran pelatih daripada institusi TVET awam dan swasta.

WMS Sarawak adalah cabang WMS dan Worldskills dengan misi meningkatkan profil dan pengiktirafan pekerja berkemahiran serta menampilkan kepentingan kemahiran dalam mencapai pertumbuhan ekonomi dan kejayaan diri.

-- BERNAMA