IMIGRESEN LAKSANA OPERASI TERHADAP PEKERJA ASING DI SARAWAK SELEPAS TAMAT RTK 2.0

11/12/2023 12:36 PM

KUCHING, 11 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran terhadap pendatang asing yang bekerja di negeri ini selepas tamat tempoh pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 iaitu pada 31 Dis ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dalam kenyataan hari ini mengingatkan pendatang tanpa izin dan majikan untuk mengambil peluang berdaftar di bawah program berkenaan dengan berurusan secara terus bersama pihak JIM dan Jabatan Tenaga Kerja negeri.

“Bagi tatacara urusan pendaftaran di bawah Program RTK 2.0, majikan perlu memohon secara dalam talian melalui portal JIM di www.imi.gov.my klik ke pautan Portal Rekalibrasi. Tiada bayaran deposit dikenakan kepada majikan setelah proses pendaftaran. 

“Majikan yang didapati menggaji pendatang tanpa izin akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang pendatang tanpa izin yang diambil bekerja,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata mereka yang dibenarkan berdaftar di bawah Program RTK 2.0 ialah warga asing yang telah melakukan kesalahan pada atau sebelum 31 Dis 2022 di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 196.

Program yang dilancarkan pada 26 Julai lepas, katanya bertujuan meregularisasikan pendatang tanpa izin yang berada di Sarawak sebagai pekerja asing yang sah berdasarkan syarat yang ditetapkan kerajaan negeri. 

Majikan yang layak bagi program itu ialah mereka yang menggaji pekerja asing yang terlibat dalam sektor 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar meliputi perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan, perlombongan dan kuari serta pembantu rumah asing.

Selain itu, hanya pendatang tanpa izin dari 16 negara sahaja yang dibenarkan di bawah program berkenaan iaitu individu dari Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China.

-- BERNAMA