MABC, SABC METERAI MOU PERKUKUH HUBUNGAN EKONOMI

Credit: Malaysia Australia Business Council
04/12/2023 09:29 PM

KUCHING, 4 Dis (Bernama) -- Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Dewan Perniagaan Sarawak Australia (SABC) bagi mengukuhkan lagi hubungan ekonomi, perdagangan dua hala serta peluang pelaburan kedua-dua negara, khususnya Sarawak.

Naib Pengerusinya Nordin Abdullah berkata MoU berkenaan turut menjadi detik bermakna dalam hubungan antara MABC dan SABC.

“Ia membuktikan bahawa menerusi kerjasama ini, kita berupaya meningkatkan lagi perkhidmatan dalam memenuhi permintaan kalangan komuniti perniagaan dari Australia yang mahu melebarkan sayap di rantau ini serta berperanan sebagai saluran untuk perniagaan berkembang ke Australia. 

"Sarawak akan memainkan peranan utama dalam fasa pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sehubungan itu, perniagaan Australia perlu mengambil masa untuk menyelami visi strategik Sarawak dan meneroka peluang perniagaan dan pelaburan dapat diwujudkan," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Nordin berkata tiga bidang pertumbuhan tinggi yang dikenal pasti boleh dipertimbangkan oleh perniagaan Australia adalah seperti tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan pelancongan bagi tujuan mesyuarat serta insentif.

“Sektor perniagaan khususnya, telah menerima pelaburan besar dari Australia termasuk dua universiti terkemuka negara itu yang sudah membuka kampus di Sarawak,” katanya.

Presiden SABC Rodger Chan berkata SABC merupakan rakan utama dan penandatangan Komuniti Ekonomi Borneo (BEC) baru ditubuhkan yang merangkumi dewan-dewan perniagaan, kerajaan dan komuniti niaga dari Sarawak, Kalimantan, Indonesia, Brunei Darussalam, Sabah dan Labuan. 

"BEC dibentuk di bawah inisiatif Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (memandangkan) Borneo yang juga kawasan hijau rantau ini, kini menjadi ibu negara baharu Indonesia iaitu Nusantara.

"Sarawak misalnya kaya dengan sumber asli dan merupakan model ekonomi hijau mampan di rantau ini. Oleh itu, pertumbuhan pesat Borneo dan Sarawak turut membuka peluang perniagaan kepada ahli MABC dan SABC," katanya. 

Dalam pada itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Simon Fellows berkata Sarawak dan Australia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin dengan perdagangan dua hala bernilai RM5.67 bilion pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus berbanding angka 2021. 

-- BERNAMA