SARAWAK IKTIRAF PERANAN BELIA DALAM PEMBANGUNAN

Photo: TVS
02/12/2023 02:45 PM

KAPIT, 2 Dis (Bernama) -- Sarawak mengiktiraf peranan yang dimainkan belia dalam pembangunan negeri itu ke arah mencapai aspirasi sebagai Sarawak Maju 2030.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata belia yang memaksimumkan inovasi dan teknologi digital, dapat mengoptimumkan pencapaian keberkesanan bidang mereka ke arah mencapai aspirasi tersebut dan menjadikan belia Sarawak, belia yang bertaraf dunia.

Beliau berkata selaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), Kerajaan Sarawak telah menyediakan asas dan hala tuju yang jelas untuk golongan belia meneruskan kecemerlangan tidak kira di dalam bidang sukarelawan, bidang pembangunan ekonomi, bidang sukan, bidang industri kreatif dan lain-lain bidang lagi.

Sarawak yang memerlukan bakat baharu berteraskan inovasi dan teknologi digital menyedia dan merangka program yang berimpak tinggi, dengan menerapkan inovasi dan teknologi digital dalam kalangan usahawan belia Sarawak, yang dinamakan sebagai Youth Technopreneur.

“Pembangunan Youth Technopreneur, bertujuan bagi melengkapkan belia dengan komponen teknologi yang merupakan perniagaan baharu masa kini. Saya percaya usahawan belia beroperasi melalui kepakaran teknologi, akan lebih memudahkan belia merangka strategi holistik dan mampu membuat keputusan berkaitan perniagaan dilaksanakan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, semasa perasmian Hari Belia Sarawak 2023 di Dewan Suarah Kapit, di sini hari ini.

Abang Johari berkata perjuangan untuk membangun dan memajukan Sarawak masih belum tamat dan untuk itu beliau mengingatkan belia di wilayah itu, untuk menanamkan kata-kata azimat pahlawan Sarawak ‘Agi Idup Agi Ngelaban’, di mana-mana mereka berada untuk memperhebatkan Sarawak di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Beliau turut memberitahu Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah memaklumkan kepadanya bahawa konsep perpaduan dan multiculturalism (faham pelbagai budaya) yang wujud di Sarawak sangat kuat.

“Sememangnya saya amat berbangga dengan semangat perpaduan, faham pelbagai budaya dan keterbukaan yang tinggi terutama dalam kalangan belia, sekali gus mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kekalkan keunikan dan keharmonian kita di Sarawak,” katanya.

Pelbagai acara menarik melibatkan belia diadakan pada sambutan tersebut yang bermula semalam dan berakhir esok termasuklah sukan ekstrem, persembahan pentas, gerai usahawan belia, perkhemahan dan e-sukan.

-- BERNAMA