KERAJAAN PERSEKUTUAN, PENYEDIA PERKHIDMATAN KONGSI KOS OPERASI MENARA SMART DI SARAWAK  

27/11/2023 04:49 PM

KUCHING, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama bersetuju berkongsi kos pengoperasian menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata kos pengoperasian menara SMART ini dianggarkan sebanyak RM207 juta untuk tempoh tiga tahun bermula 2024.

"Selepas tempoh ini, syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama terlibat akan menanggung sepenuhnya kos pengoperasian kesemua menara berkenaan," katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurutnya kerajaan Sarawak telah melaksanakan program intervensi bagi mempercepatkan usaha perluasan liputan perkhidmatan telekomunikasi luar bandar di Sarawak menerusi inisiatif Menghubungkan Bandar dan Luar Bandar Sarawak (SALURAN) dengan peruntukan RM1.89 bilion.

"Antara projek yang dilaksanakan di bawah inisiatif SALURAN ini termasuk pembinaan 600 menara telekomunikasi baharu di luar bandar di bawah projek SMART," tambahnya.

Julaihi berkata kerajaan Persekutuan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk pelaksanaan rangkaian 5G di Sarawak bagi tempoh 2022 hingga 2030.

"Sebanyak 589 tapak 5G dijadualkan beroperasi di seluruh Sarawak menjelang 2024. Ini akan menyumbang kepada 60 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di negeri ini," katanya.

Beliau berkata 45 Pusat Komuniti Digital (DCC) kendalian kerajaan Sarawak dan 133 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah beroperasi di Sarawak, dengan sejumlah 23 PEDi baharu akan dibina di negeri itu pada tahun depan.

DCC dan PEDi ini, katanya bertujuan untuk membantu masyarakat luar bandar supaya mahir dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta keusahawanan digital.

"Hingga kini, lebih 266,000 pengguna telah menerima manfaat daripada program dan latihan yang disediakan melalui DCC dan PEDi di Sarawak," katanya. 

-- BERNAMA