PROJEK KERETA API TRANS-BORNEO SEDIA AKSES KE KAWASAN PEDALAMAN

File Pix
22/11/2023 06:06 PM

KUCHING, 22 Nov (Bernama) -- Cadangan pelaksanaan projek kereta api Trans-Borneo berupaya menyediakan akses ke kawasan pedalaman bagi operasi perlombongan dan pengangkutan bahan mentah serta bandar penghubung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata akses ini akan turut memesatkan pembangunan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Rel adalah satu kaedah yang pantas, lestari dan berkesan untuk membawa muatan dan penumpang.

“Menyediakan pengangkutan awam seperti satu-satunya rangkaian kereta api ini di Sarawak tidak boleh dilihat (dari segi keuntungan) sahaja, tetapi sebagai satu pelaburan oleh kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan ekonomi secara lebih luas di kawasan ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Lo berkata projek kereta api berkenaan adalah penting untuk merangsang pembangunan ekonomi Sarawak.

“Saya menggesa kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan projek kereta api Trans-Borneo ini menjadi realiti bagi mempercepat pembangunan dan menyediakan pilihan pengangkutan awam alternatif bagi Sarawak dan Sabah.

“Bagaimanapun, saya ingin menekankan keperluan untuk melakukan tindakan segera dan nyata, bukan sekadar melaksanakan kajian kebolehlaksanaan yang mungkin menemui kegagalan lagi pada bila-bila masa berlakunya pertukaran kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pada 2024 bagi sistem kereta api Pan-Borneo.

-- BERNAMA