SAINS, ANT GROUP DIGITAL TECHNOLOGIES BEKERJASAMA BANGUNKAN APLIKASI KERAJAAN MUDAH ALIH
KUCHING, 14 Nov (Bernama) -- Sarawak Information Systems Sdn Bhd (Sains), penyepadu sistem dan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi milik kerajaan negeri, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ant Group Digital Technologies yang berpangkalan di China untuk meneroka pembangunan aplikasi kerajaan mudah alih.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat itu berkata di bawah MoU berkenaan, Sains akan mengguna pakai penyelesaian yang memenuhi objektif perniagaannya dengan memanfaatkan teknologi inovatif daripada Ant Group Digital Technologies.
Mereka berkata penyelesaian teknikal termasuklah mPaaS, platform pembangunan mudah alih yang menyediakan penyelesaian sehenti awan hingga ke hujung untuk pembangunan mudah alih dan Zoloz eKYC, penyelesaian pengesahan identiti digital dikuasakan kecerdasan buatan.
“Sains telah membangunkan banyak aplikasi untuk pelanggan selama bertahun-tahun sejak penubuhannya, dan kerajaan mudah alih adalah salah satu penyelesaian utama Sains untuk membantu kerajaan Sarawak mencapai Strategi Pembangunan PascaCovid-19 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
“Memandangkan 100 peratus perkhidmatan kerajaan hujung ke hujung akan dilaksanakan menjelang 2030, penyelesaian pengesahan identiti digital akan menjadi kunci untuk memastikan transaksi digital boleh dilakukan dengan selamat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sains Busiai Seman berkata syarikat itu berharap untuk bekerjasama dengan rakan kongsi teknologi seperti Ant Group Digital Technologies kerana pengetahuan dan kepakarannya dalam bidang kerajaan mudah alih dan teknologi pengesahan identiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Ant Group Digital Technologies Geoff Jiang berkata kerjasamanya dengan inovator terkemuka seperti Sains akan membantu mempercepatkan transformasi digital dan kerjasama merentas industri seperti perkhidmatan awam, serta memacu inovasi, kecekapan dan kepercayaan di Malaysia.
-- BERNAMA
