SARAWAK RAIH ANUGERAH ASOCIO

14/11/2023 08:59 PM

KUCHING, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak merangkul Anugerah Kerajaan Digital Pertubuhan Industri Pengkomputeran Asia-Ocean (ASOCIO) 2023.

Anugerah itu mengiktiraf peranan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dalam penempatan infrastruktur dan teknologi digital seperti infrastruktur telekomunikasi, hab inovasi bagi pembangunan syarikat pemula dan pusat kecemerlangan.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam kenyataan berkata anugerah itu disampaikan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Teknologi ASOCIO hari ini yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Digital ASOCIO 2023 di Seoul, Korea Selatan.

Menurut kenyataan itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi menerima anugerah berkenaan bagi pihak kerajaan negeri.

Julaihi ketika menerima anugerah berkata pengiktirafan itu membolehkan kerajaan negeri membawa transformasi digital yang lebih besar kepada rakyat kerana ia akan meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan global serta menarik bakat teknologi mahir.

"Bulan lepas, Sarawak melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, pelan komprehensif yang disusun berdasarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 sedia ada.

"Pelan Tindakan itu akan menetapkan hala tuju untuk Sarawak mencapai status peneraju ekonomi dan masyarakat digital menjelang 2030. Ia akan meletakkan Sarawak sebagai wilayah maju berpendapatan tinggi, beralih daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi berasaskan teknologi mampan alam sekitar," katanya.

Ditubuhkan pada 1984, ASOCIO merupakan sebuah organisasi perdagangan mewakili lebih 10,000 syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) meliputi 24 negara anggota dari Asia Pasifik.

Objektif organisasi itu adalah untuk memajukan, menggalakkan dan memupuk hubungan serta perdagangan dalam kalangan ahli, selain membangunkan industri pengkomputeran di rantau ini. 

-- BERNAMA