PENDUDUK PEDALAMAN DISARAN BERGABUNG UNTUK TUBUHKAN KRT

11/11/2023 05:47 PM

SIBU, 11 Nov (Bernama) -- Penduduk Sarawak yang tinggal berselerak di pedalaman disaran bergabung bagi memudahkan pembentukan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan penempatan mereka, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata bagi membolehkan KRT ditubuhkan, sesebuah kawasan itu memerlukan lebih 500 penduduk

Menurut beliau kerajaan melalui kementeriannya merancang untuk memperkasakan ekonomi rakyat melalui KRT dan kini satu kertas kerja sedang disiapkan bagi pelaksanaan rancangan tersebut.

“Di kawasan pedalaman khasnya di rumah-rumah panjang penduduknya tidak sampai 500 orang. Untuk mendaftarkan KRT anda mungkin boleh bergabung dengan rumah panjang lain di sungai atau kawasan yang kamu duduki,” katanya semasa Majlis Warisan Budaya Bangsa - Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 di Rumah Bagol Tom di Nanga Sekeranji, Machan, Kanowit hari ini.

Aaron berkata di bawah rancangan tersebut, sesebuah KRT yang progresif akan dipilih dan diberikan peruntukan bagi melaksanakan projek ekonomi seperti pertanian yang dapat meningkatkan pendapatan anggota-anggota KRT.

Usaha memperkasakan ekonomi rakyat melalui KRT itu katanya adalah penting agar rakyat tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) semata-mata kerana bantuan seumpama itu tidak mencukupi untuk rakyat menampung kos kehidupan mereka.

“Kalau dulu peranan KRT adalah berfokus kepada keselamatan. Kini kita kembangkan lagi peranannya agar mencakupi perkara lain seperti pendidikan, kesihatan, kebersihan dan juga ekonomi,” katanya.

Menyentuh mengenai perpaduan, beliau berkata kementeriannya memikul tugas yang besar dan berguna bagi memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah kuat, lebih-lebih lagi apabila faktor perpecahan yang berlaku adalah disebabkan oleh politik toksik.

Menurutnya kesan politik toksik itu adalah amat nyata dan perpecahan berlaku di mana-mana termasuk di rumah-rumah panjang.

“Rumah-rumah panjang pecah kerana politik. Ini yang kita harus elakkan kerana tanpa adanya perpaduan aktiviti pembangunan tidak dapat dilaksanakan,” kata beliau.

Program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 bertemakan ‘Melestarikan Agenda Perpaduan Negara’ yang bermula 3 hingga 16 Nov melibatkan penyertaan 95 siswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Peserta misi tersebut yang ditempatkan di enam kawasan di Sarawak iaitu Sungai Maong di Petrajaya; Machan di Kanowit; Daha di Serian, Ba’kelalan di Lawas; serta Long Laput dan Long Kevok di Telang Usan melakukan kerja-kerja sukarela di kawasan terbabit.

Program itu merupakan antara inisiatif di bawah flagship Kembara Perpaduan sebagai melestarikan perpaduan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum mengenai kepelbagaian khazanah warisan negara.

-- BERNAMA