SARAWAK BELANJA RM2.7 BILION PERKASA PENDIDIKAN - ABANG JO 

01/11/2023 05:19 PM

BINTULU, 1 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM2.7 bilion sejak 2020 bagi memperkasakan sistem pendidikan negeri itu, menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya daripada jumlah itu, RM2 bilion telah dibelanjakan bagi menaik taraf infrastruktur manakala RM700 juta digunakan untuk tujuan program pendidikan.

“Kadang-kadang peruntukan dari Kerajaan Persekutuan agak lewat untuk membaiki prasarana sekolah, jadi kita perlu keluarkan dana sendiri untuk menampung kos perbelanjaan itu.

“Bagi saya, ini merupakan satu pelaburan penting kerana kita sedang menyediakan bakat serta tenaga kerja kita sendiri untuk masa hadapan,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu yang dibangunkan oleh Petronas di sini hari ini.

Kampus MRSM Bintulu yang melibatkan kos pembinaan RM122 juta, bakal beroperasi pada Mac 2024 sekali gus menyediakan peluang buat pelajar di Sarawak mendapatkan pendidikan berkualiti serta merangsang minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Berkeluasan 22,000 meter persegi, kampus MRSM Bintulu itu mempunyai kapasiti 450 pelajar.

Sementara itu, Abang Johari berkata setiap sekolah harus mempunyai makmal yang lengkap untuk pelajaran pendidikan STEM yang praktikal dan bukan sekadar teori semata-mata.

Pada 23 Sept lepas, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan membina makmal di setiap daerah bagi memperkukuh pendidikan STEM dalam kalangan anak muda di negeri itu.

Keputusan untuk membina makmal itu dibuat setelah mengambil kira keadaan makmal di sekolah-sekolah di negeri itu yang kurang lengkap.

-- BERNAMA