DBP SOKONG SARANAN SARAWAK JADIKAN PALBORNEO PERTEMUAN BERKALA

26/10/2023 09:35 PM

KOTA SAMARAHAN, 26 Okt (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong saranan Sarawak untuk menjadikan Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksikografi Borneo (PALBORNEO) sebagai pertemuan berkala.

Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata saranan itu dibuat Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.

“Saya amat menyokong saranan Abang Johari dalam ucapan beliau semalam yang mahukan PALBORNEO dijadikan pertemuan berkala," katanya ketika merasmikan majlis penutupan PALBORNEO 2023 di Kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.

Hazami berkata penerbitan Kamus Melayu Sarawak-Melayu Dewan semalam juga merupakan satu kejayaan dan sejarah buat DBP dalam memperkayakan khazanah dokumentasi penyelidikan bahasa sukuan di negeri ini.

“Mungkin boleh juga untuk dipertimbangkan agar PALBORNEO ini dimasukkan sebagai aktiviti dalam kerjasama Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM)," katanya. 

Hazami berkata kepelbagaian bahasa peribumi yang terdapat di pulau Borneo sangat menarik dan wajar digunakan serta disebarkan dalam kehidupan masyarakat bagi memperkaya dan memperkasakan bahasa.

“Perkataan jerayawara, ruai, randau, merarau misalnya merupakan kata yang berasal dari bahasa sukuan etnik di Sabah dan Sarawak yang kini telah menjadi sebahagian daripada kosa kata Bahasa Melayu dan melata penggunaannya,” katanya.

Menurutnya bersesuaian dengan tema persidangan itu iaitu “Pelestarian Bahasa Peribumi Borneo”, satu daripada usaha yang dilakukan oleh DBP ialah untuk mendokumentasi bahasa peribumi.

Beliau berkata usaha itu dilaksanakan menerusi antara lain penyelidikan bahasa dan penyusunan kamus agar bahasa etnik di Sabah dan Sarawak dapat terus dipertahankan.

-- BERNAMA