PENDIDIKAN AWAL BANTERAS VANDALISME INFRASTRUKTUR UTILITI 

25/10/2023 06:06 PM

BINTULU, 25 Okt (Bernama) -- Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mengambil pendekatan pendidikan di peringkat awal dalam usaha membanteras vandalisme terhadap infrastruktur utiliti negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata melalui usaha itu intervensi serta kesedaran awal boleh diberikan kepada anak-anak muda di peringkat sekolah mengenai pentingnya infrastruktur itu kepada penduduk sesuatu kawasan.

Katanya, pendekatan pendidikan itu telah dimulakan di Sekolah Seni Malaysia Sarawak di Kuching dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan.

“Kita akui memang sukar mengatasi gejala vandalisme dengan sepenuhnya... jadi apa yang boleh kita laksanakan adalah untuk mengurangkan atau meminimumkan aktiviti itu melalui pendidikan peringkat awal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kuala Tatau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata vandalisme kepada infrastruktur utiliti seperti bekalan air, elektrik serta komunikasi merupakan antara cabaran besar dihadapi kementeriannya sejak beberapa tahun ini. 

“Sebagai contoh dalam satu kes kita dapati menara komunikasi yang belum beroperasi dan baru sahaja dipasang bahagian tembaganya sudah kena potong dan dicuri, inilah cabaran yang harus kita hadapi,” katanya.

Pada 12 Okt lalu, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memaklumkan akan menimbangkan penggunaan teknologi terkini bagi membanteras vandalisme terhadap infrastruktur utiliti negeri yang telah menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan  bahawa perkara itu adalah antara isu yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Telekomunikasi (TCCM) 2023. 

-- BERNAMA