TADBIR URUS BAIK KRITERIA UTAMA BADAN SUKAN DAPAT PENARAFAN BINTANG - PJS

Suhardi Alias
25/10/2023 03:35 PM

KUCHING, 25 Okt (Bernama) -- Tadbir urus yang baik merupakan kriteria utama badan sukan diberikan Penarafan Bintang Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).

Pesuruhjayanya Suhardi Alias berkata tadbir urus yang baik ialah sesebuah badan sukan itu perlu mencapai objektif persatuan serta aspirasi ahli, selain perlu mengemukakan laporan kewangan dan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan.

“Penarafan bintang akan membolehkan persatuan menarik lebih banyak penaja bagi membolehkan persatuan menjalankan aktiviti.

“Selain itu, ia juga membolehkan persatuan mendapat bantuan daripada geran yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi badan sukan yang dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Townhall PJS bersama Badan Sukan negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata bagi badan sukan yang tidak aktif, tidak mengemukakan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) atau laporan tahunan, pendaftaran mereka akan dibatalkan.

“Walaubagaimanapun, persatuan itu boleh membuat rayuan pembatalan dengan mematuhi beberapa syarat disertakan dengan alasan yang munasabah seperti mengemukakan MYKB untuk pertimbangan jawatankuasa PJS.

“Hal ini juga bagi memastikan semua pemegang jawatankuasa dalam persatuan bertanggungjawab terhadap tugasan digalas untuk menjadikan persatuan itu aktif semula,” katanya.

Suhardi berkata setakat Jun lepas sejumlah 306 badan sukan telah dibatalkan dan jumlah itu dijangka terus meningkat atas keculasan badan sukan yang tidak mengemukakan maklumat wajib tahunan kepada PJS.

-- BERNAMA