SARAWAK SEMAK RANGKA KERJA HOB SELARAS PCDS 2030

12/10/2023 03:20 PM

KUCHING, 12 Okt (Bernama) -- Sarawak sedang menyemak semula rangka kerja inisiatif Heart of Borneo (HoB) bagi memastikan ia selaras dengan dasar dan agenda pembangunan negeri sedia ada, terutama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2023 (PCDS 2030). 

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Jabatan Hutan Sarawak, yang merupakan sekretariat untuk HoB sedang menyiapkan draf akhir rangka kerja itu.

"Dokumen berkenaan, yang merupakan versi semakan Rangka Kerja Pelaksanaan HoB Sarawak 2009, akan menjadi panduan bagi pelaksanaan program serta pelbagai aktiviti dalam kawasan HoB hingga 2030.

“Hal ini bukan bertujuan menggantikan rangka kerja HoB 2009 sebaliknya sebagai dokumen tambahan dan dikemas kini,” katanya berucap pada majlis perasmian Seminar Heart of Borneo 2023: Ekspedisi Santifik Gerenai-Long Mekaba di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh. 

Inisiatif HoB merupakan kerjasama antara Malaysia (Sabah dan Sarawak), Indonesia serta Brunei untuk memulihara hutan tropika di kepulauan Borneo di samping melaksanaka pembangunan lestari bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata memanfaatkan inisiatif HoB akan membolehkan Sarawak mempamerkan usahanya dalam melibatkan masyarakat dan membudayakan amalan kelestarian seperti projek Sistem Tagang dan ekopelancongan.

Bertemakan ‘Exploring the hinterland of North-Eastern of Sarawak’, seminar dua hari itu bermatlamat menyuarakan keperluan mendesak terhadap konservasi hutan, terutama di kawasan yang kurang diterokai di negeri ini.

Ekspedisi dan seminar berkenaan menghimpunkan pakar, penyokong dan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor bagi mencari penyelesaian, perkongsian maklumat serta pengetahuan mengenai pemuliharaan dan pengurusan sumber asli yang lestari.

-- BERNAMA