PENGGERUDIAN O&G DALAM PESISIR DI SARAWAK BERMULA SELEPAS 50 TAHUN

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
11/10/2023 05:42 PM

MIRI, 11 Okt (Bernama) -- Penggerudian telaga dalam pesisir di Sarawak bermula hari ini selepas terhenti selama 50 tahun, melambangkan kejayaan untuk penerokaan minyak dan gas (O&G).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara rasmi melancarkan permulaan penggerudian dalam majlis yang diadakan di Grand Old Lady, tapak telaga minyak pertama di Malaysia yang beroperasi pada 1910.

Pada majlis itu, beliau berkata langkah melaksanakan semula penerokaan O&G dalam pesisir di Sarawak akan memacu pertumbuhan sosio-ekonomi negeri untuk membawanya selangkah lebih dekat ke arah matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

“Apabila kami mengambil langkah ini untuk menyambung semula aktiviti O&G dalam pesisir selepas tidak aktif selama berdekad, kami mengesahkan komitmen kami untuk meneruskan semula penerokaan dalam pesisir Sarawak dan memacu pengkomersialan awal penemuan O&G dalam pesisir,” kata Abang Johari.

Penggerudian dibuat di lapangan Adong Kecil West di Blok SK433, merupakan kawasan seluas kira-kira 3,100 kilometer persegi yang dianugerahkan kepada syarikat O&G milik kerajaan Sarawak, PETROS, pada Julai 2021.

Operasi dijalankan secara bersama dengan sebuah lagi syarikat Sarawak, Petra Energy Bhd.

Abang Johari berkata gas asli yang dihasilkan dari lapangan Adong Kecil West akan dibekalkan untuk menjalankan loji janakuasa turbin gas dengan kapasiti 400 megawatt, yang kini sedang dibina di Lutong dan dijadualkan mula beroperasi pada 2027.  

Sementara itu, PETROS sedang menyiapkan kajian teknikal secara bersama di kawasan lain yang dikenal pasti sebagai Blok SK334, terletak antara Limbang dan Lawas, dua daerah paling utara di Sarawak.

“Kami menantikan potensi penggerudian telaga penerokaan (untuk Blok SK334) pada 2025,” kata Abang Johari.

-- BERNAMA