PENYAKIT X: SARAWAK BERHATI-HATI DAN BERSEDIA - ABANG JO

07/10/2023 01:58 PM

KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Sarawak perlu berhati-hati dan bersedia dalam menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit X di negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata buat masa ini tiada maklumat terperinci mengenai penyakit itu dan Sarawak akan bertindak berdasarkan maklumat dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Berdasarkan pengalaman kita dengan COVID-19 sebelum ini, kita perlu berjaga-jaga dan tunggu pandangan WHO untuk mengetahui apakah penyakit X ini. Adakah ia penyakit demam atau flu.

“Apabila sudah tahu maklumat terperinci baru kita boleh bertindak dan kenal pasti vaksin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perniagaan Dan Usahawan 2023 di sini hari ini.

Penyakit X merupakan nama yang dicipta WHO pada 2018 untuk sejenis patogen yang tidak diketahui, dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia. 

Walaupun sifat dan waktu penyakit X masih belum dikenal pasti, dilaporkan pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan tentang impak penyakit berkenaan.

Sementara itu, Abang Johari berkata Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang dijangka siap pada  2026 boleh menjadi sebuah pusat penyelidikan vaksin termasuk bagi penyakit X.

“Dulu kita ada isu untuk dapatkan vaksin COVID-19 tetapi kali ini kita dah ada SIDC dan mempunyai tenaga pakar.

“SIDC dan pakar kita akan dapat melakukan penyelidikan bukan sahaja untuk aspek penyembuhan tetapi juga vaksin,” katanya.

-- BERNAMA