EKSPORT KOKO NEGARA CATAT RM4.3 BILION SEHINGGA JULAI INI - TPM FADILLAH

Datuk Seri Fadillah Yusof (third right)
30/09/2023 12:45 PM

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Jumlah pendapatan eksport koko negara telah mencecah RM4.364 bilion bermula Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata jumlah itu adalah perkembangan baik untuk mencapai sasaran pendapatan eksport koko sebanyak RM8 bilion pada tahun ini.

“Koko adalah tanaman komoditi ketiga terbesar penyumbang nilai eksport negara selepas sawit dan getah. Pada 2022, koko menyumbang RM7.8 bilion kepada pendapatan eksport negara. Sumbangan ini telah meningkat 13.7 peratus berbanding pada 2021,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko di sini hari ini.

Fadillah berkata keluasan tanaman koko negara pada masa ini berjumlah 5,985 hektar dan disasarkan meningkat sehingga 6,335 hektar berikutan pembukaan kawasan tanaman koko baharu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24.6 peratus atau 1,473 hektar tanaman koko diusahakan di Sarawak, katanya.

“Tanaman koko di negeri ini tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei, manakala bilangan petani koko di Sarawak sehingga kini berjumlah 1,290 orang,” katanya.

Fadillah berkata industri koko berpotensi besar untuk diperluaskan lagi agar setanding dengan komoditi lain negara seperti sawit.

“Kita perlu melihat bagaimana untuk menggalakkan lebih ramai terlibat dengan penanaman koko dan pengeluaran produk berasaskan koko,” katanya. 

-- BERNAMA