SARAWAK SOKONG KERUSI TOK NAN KAJI KUMPULAN ETNIK

Sarawak Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
26/09/2023 06:50 PM

BINTULU, 26 Sept (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan kerajaan negeri akan menyokong dan membantu Kerusi Pehin Sri Adenan Satem (Kerusi Tok Nan) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dalam penyelidikannya terhadap pelbagai kumpulan etnik di Sarawak.

Beliau berkata 31 kumpulan etnik telah dikenal pasti setakat ini dan kemungkinan terdapat banyak lagi yang perlu didokumenkan.

“Sudah tentu, saya beri jaminan bahawa kerajaan negeri akan sokong dan bantu usaha anda untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang kumpulan etnik kita dan di situ datangnya soal kemanusian,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Sosial Sains dan Kemanusiaan Ketiga (ICOSSH 2023) di kampus berkenaan hari ini.

Beliau berkata apabila berkait keterangkuman sosial, dasar kerajaan negeri adalah menyeluruh dan ia mengambil kira pelbagai kumpulan etnik di Sarawak.

“Setiap kumpulan etnik mesti bersama-sama dalam semua dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk kemajuan Sarawak.

“Sebab itu penyatuan budaya, kepercayaan dan usaha membangunkan diri sangat penting untuk kita mencapai kemajuan. Saya ingin memuji UPM kampus Bintulu yang menjadi platform untuk anda mengkaji latar belakang budaya pelbagai kumpulan etnik dan memastikan ia mampan, sekali gus menjadi kekuatan untuk kita terus maju,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sejak kerusi itu ditubuhkan, beberapa pencapaian penting direalisasikan dalam melindungi dan memajukan hak kumpulan etnik berbeza di Sarawak selain mempromosikan kepelbagaian etnik.

Abdul Karim berkata hasil kesungguhan kerajaan negeri dalam mengumpulkan data mengenai pelbagai kumpulan etnik minoriti berbeza di Sarawak telah membawa kepada peningkatan jumlah kumpulan etnik daripada 27 kepada 31.

Katanya jumlah itu kemungkinan besar bertambah memandangkan terdapat kumpulan etnik yang tidak mempunyai identiti tersendiri.

Beliau juga mengalu-alukan usaha dibuat oleh UPM dan Kerusi Tok Nan untuk mengangkat martabat kampus cawangan sebagai hab pengajian herba etnik di negeri itu.

-- BERNAMA