JKR SARAWAK AMBIL LANGKAH SEGERA TANGANI TANAH MENDAP DI JAMBATAN SUNGAI MUSAH – NANTA

22/09/2023 12:35 PM

KUCHING, 22 Sept (Bernama) -- Langkah segera telah diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi menangani kejadian tanah mendap di Jambatan Sungai Musah di Jalan Tekait-Musah di Song, Kapit.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jambatan itu berada di laluan jalan negeri dan beliau telah berhubung dengan JKR Sarawak bagi memastikan kelancaran tindak balas.

“Saya ambil maklum (mengenai kejadian itu) dan telah mendapatkan maklumat segera daripada pegawai-pegawai di kawasan dan akan turun ke kawasan terjejas untuk melihat sendiri keadaan di situ pada tengah hari ini.

“JKR Sarawak juga telah menutup jalan berkenaan bermula malam tadi selain memasang papan tanda amaran dan peranti keselamatan untuk keselamatan penduduk di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kerosakan jambatan sepanjang 166 meter dan selebar 11.2 meter itu dikesan pada kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Nanta berkata sementara pemeriksaan dan siasatan lanjut dijalankan, beliau juga telah membawa perkara itu kepada perhatian Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi mempercepatkan lagi tindakan.

-- BERNAMA