SARAWAK SASAR PELET KAYU SEBAGAI POTENSI SUMBER TENAGA BOLEH BAHARU

Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Photo: JaPen
18/09/2023 01:00 PM

SIBU, 18 Sept (Bernama) -- Pelet kayu berpotensi menjadi sumber tenaga boleh baharu untuk menjana grid elektrik Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya beliau tertarik dengan idea tersebut semasa lawatannya ke sebuah kilang di Norway baru-baru ini, tempat serpihan kayu dikumpul dan dijadikan pelet kayu yang kemudiannya boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga sehingga 2,500 megawatt.

Bercakap pada sambutan ulang tahun ke-63 Chiang Hsia Huang Clan Association Sarawak Tengah di sini malam semalam, Abang Johari berkata dengan menggunakan teknologi yang sama, sisa daripada industri perkayuan Sarawak boleh dikitar semula menjadi tenaga.

Beliau berkata Sarawak sedang melakukan yang terbaik untuk mengawal atau mengurangkan pelepasan karbonnya dan telah mula mengkaji penggunaan kenderaan pengangkutan awam dijana hidrogen.

Sambutan itu turut dihadiri Konsulat Republik Rakyat China di Kuching, Xing Wei Ping dan pengerusi persatuan tersebut Wong Ing Huon.

-- BERNAMA