RANCANGAN BEKAL ELEKTRIK KE SINGAPURA TIDAK JEJAS KEPERLUAN DOMESTIK SARAWAK

11/09/2023 02:53 PM

KOTA SAMARAHAN, 11 Sept (Bernama) -- Perancangan jangka masa panjang Sarawak untuk membekalkan tenaga elektrik ke Singapura bagi tujuan komersial tidak akan menjejaskan keperluan elektrik domestik di negeri ini sama sekali, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Beliau berkata Sarawak akan turut meletakkan syarat antaranya kadar tarif elektrik yang jauh lebih tinggi terhadap Singapura bagi memastikan pelan jangka masa panjang itu menjadi sumber ekonomi yang menguntungkan kepada negeri dan juga Malaysia. 

“Ketiadaan elektrik di kawasan di negeri ini melibatkan kawasan perumahan baharu dan off-grid areas. Kerajaan Sarawak menerusi Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) sedang giat menyediakan elektrik di kawasan sebegini.

“Jadi jangan risau, perjanjian bekalan elektrik ini (Sarawak-Singapura) tidak menjejaskan keperluan domestik kita kerana bekalan elektrik kita mencukupi malah berlebihan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Kursus Rekabentuk Sistem Solar Photovoltaic Unit Menrinyu Elektrik (EIU) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Julaihi berkata pembinaan kabel dasar laut sepanjang 700 kilometer yang melibatkan perairan Malaysia dan Indonesia bertujuan menyalurkan elektrik dari negeri itu bakal ditanggung sepenuhnya oleh Singapura. 

Setakat Mei lepas, jumlah kapasiti penjanaan tersedia negeri ini yang sebanyak 5,745 megawatt adalah mencukupi bagi menampung permintaan semasa iaitu 4,627 megawatt. 

Sebelum ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak bersetuju untuk membekalkan tenaga elektrik ke Singapura dengan kapasiti 1,000 megawatt menerusi kabel dasar laut dan rundingan bersama negara jiran itu kini berada di peringkat lanjutan. 

Menurutnya, selain Singapura, Sarawak Energy Bhd turut mengadakan rundingan bersama Brunei bagi mengeksport tenaga elektrik.

-- BERNAMA