KKM PERLU LEBIH RAMAI JURURAWAT BIDANG GERONTOLOGI - LUKANISMAN

Lukanisman Awang Sauni
09/09/2023 03:08 PM

KOTA SAMARAHAN, 9 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan lebih ramai jururawat bidang gerontologi atau mengkhusus dalam bidang penjagaan warga emas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata keperluan itu sejajar dengan situasi negara sekarang yang mencatatkan peningkatan populasi warga emas dan memerlukan perhatian.

“Perkhidmatan khas khusus kepada warga emas memang sangat diperlukan. Bidang ini bukannya terhad kepada doktor pakar sahaja, jururawat juga sangat diperlukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Institut Latihan KKM (ILKKM) 2023 Zon Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata banyak pusat kesihatan di bawah KKM juga telah memohon bagi penambahan jururawat yang mengkhusus kepada penjagaan kecemasan dan rawatan rapi.

Menurutnya seramai 310 orang jururawat rawatan rapi, jururawat gerontologi (48 orang) dan jururawat primer (51 orang)  sedang menjalani latihan di 19 ILKKM seluruh negara termasuk tiga buah di Sarawak. 

Mengenai konvokesyen dihadirinya, Lukanisman berkata seramai 1,195 graduan menerima diploma masing-masing pada istiadat itu hari ini dan mereka merupakan sebahagian dari 8,643 petugas KKM yang berjaya menamatkan latihan pengkhususan seperti dalam kejururawatan, kesihatan primer, pergigian dan farmasi.

Beliau berkata selepas ini konvokesyen terbabit akan diadakan bagi Zon Sabah di Dewan Canselor Sabah pada 23 Sept dan  Zon Semenanjung Malaysia di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah, Perak pada 24 Okt.

-- BERNAMA