BERMULA DI LAWAS, AGONG TERUSKAN KEMBARA KENALI BORNEO TEMUI RAKYAT SARAWAK

07/09/2023 01:05 PM

KUCHING, 7 Sept (Bernama) -- Perjalanan Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah mencecah hampir 1,000 kilometer apabila tiba di Lawas, bandar paling utara di Sarawak, hari ini.

Keberangkatan tiba rombongan pasangan diraja di bandar yang terkenal dengan penghasilan ikan tahai atau spesies ikan tamban yang disalai itu, merupakan persinggahan pertama konvoi Kembara Kenali Borneo bagi wilayah Bumi Kenyalang.

Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai sambutan meraikan keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan, yang disajikan persembahan kebudayaan masyarakat tempatan Lawas terdiri daripada kaum Melayu, Kedayan, Lun Bawang, Cina dan Tagal.

Rombongan kembara kemudiannya diiringi ke Tebingan Sungai Lawas yang terletak di pusat bandar, kira-kira 33km dari pekan Merapok bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk bertemu dengan pasangan diraja itu.

Usai berdampingan dengan rakyat di bandar yang keadaan alam semula jadi berbukit-bukau serta kehijauan flora, Al-Sultan Abdullah dan rombongannya meneruskan perjalanan ke Bandar Seri Begawan, Brunei dan bersemayam di sana, sebelum menyambung kembara itu ke bandar raya Miri pada 9 Sept.

Semasa di Miri, rombongan Seri Paduka akan singgah di Pusat Kraftangan Miri bagi melawat gerai jualan dan pameran di sana, selain menyaksikan demonstrasi anyaman kraftangan tradisional Sarawak.

Lawatan rombongan Seri Paduka berdua kemudiannya diteruskan ke Coco Cabana, sebuah pusat pelancongan di bandar raya itu, yang menempatkan gerai kraftangan, produk tempatan dan galeri batik linut serta demonstrasi pembuatan produk itu.

Pada sebelah petangnya, Al-Sultan Abdullah serta rombongan akan berangkat ke Kampung Pangkalan Lutong, sebuah perkampungan masyarakat Melayu di bahagian utara bandar raya Miri, bagi menghadiri majlis santapan petang bersama komuniti.

Pada Ahad, perjalanan Kembara Kenali Borneo dijadual bermula dengan lawatan ke Pantai Bungai di Bekenu, kira-kira 50km ke selatan bandar raya Miri, untuk menghadiri aktiviti bersama rakyat melibatkan acara bermukun (gabungan persembahan gendang, tarian dan berpantun), sukan dan kenduri rakyat.

Perjalanan Seri Paduka berdua dan rombongan diteruskan ke Bintulu dengan persinggahan di Kampung Penan Muslim Batu 10 bagi majlis penyampaian bantuan kepada asnaf di kampung berkenaan. 

Keesokan harinya, konvoi Kembara Kenali Borneo dijadual melawat Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, kira-kira 44km dari Bintulu, dengan aktiviti memasak, memancing dan penyampaian asnaf diatur bagi meraikan keberangkatan tiba Seri Paduka dan rombongan.

Program hari kesembilan kembara itu diteruskan ke Tatau, sebuah pekan terletak kira-kira 53km dari Bintulu sebelum melalui perjalanan sejauh 134km dan singgah di Tokong Yu Lung San Tian En Si, sebuah tokong Cina terkenal yang terletak di pinggir bandar Sibu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan dijadual bermalam di Sibu dan menghadiri majlis santapan bersama komuniti di Dewan MUC, sebelum meneruskan program keesokan harinya dengan melawat Pasar Sentral Sibu, yang merupakan pasar basah terbesar di Malaysia.

Perjalanan hari ke-10 kembara itu pada 12 Sept akan diteruskan dengan lawatan singkat ke Sri Aman, kira-kira 224km dari Sibu dan singgah di Kubu Alice, sebuah kubu pertahanan yang dibina semasa pemerintahan Brooke di Sarawak yang masih dipulihara sehingga kini di bandar tersebut. 

Seri Paduka dan rombongan akan meneruskan perjalanan ke bandar raya Kuching dan dijadual berangkat ke majlis penutup program dan Santapan Malam Kerajaan Negeri.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bakal melengkapkan Kembara Kenali Borneo bagi Sarawak yang merangkumi jarak sejauh 1,194 kilometer dengan membuat perjalanan sejauh 139km ke Telok Melano, tapak permulaan bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, sebelum kembali ke Kuching dan berangkat pulang  ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA