POLIS SIBU ANJUR SESI DIALOG AWAM SEBAGAI INISIATIF BANTERAS JENAYAH SIBER

Credit: FB - Polis IPD Sibu
04/09/2023 02:18 PM

SIBU, 4 Sept (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu (IPD Sibu) akan menganjurkan sesi Dialog Awam bertajuk “Jenayah Siber Kenapa Masih Terpedaya?” di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) esok, dalam inisiatifnya untuk membanteras kegiatan jenayah siber.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan dalam kalangan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai modus operandi jenayah siber yang melibatkan kerugian besar sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Tiga ahli panel dijemput bagi membincangkan tajuk ini, dan mereka masing-masingnya mewakili Bahagian Jenayah Komersil IPD Sibu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bank Negara Malaysia, manakala moderator ialah seorang pensyarah UTS,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya bagi tempoh Januari-Ogos tahun ini 298 kertas siasatan dibuka berhubung jenayah siber di daerah ini yang melibatkan jumlah kerugian lebih RM7.7 juta berbanding hanya lebih RM5.076 juta sepanjang tahun lepas.

“Program ini diharap akan memberi impak terutamanya dalam memberi kesedaran dalam kalangan ahli masyarakat di Sibu, yang seterusnya dapat mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.

Tambahnya, program ini bakal dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dan dijangka melibatkan 250 peserta terdiri dari ketua-ketua jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), guru besar, pengetua sekolah dan wakil-wakil bank setempat.

“Program selama sejam ini juga akan disiarkan secara langsung di platform-platform media sosial bagi membolehkan lebih ramai orang mengikuti dan mendapat maklumat, selain membuka peluang kepada mereka mengemukakan pertanyaan berhubung kes-kes jenayah siber,” katanya.

Zulkipli berkata sikap tamak, ingin dapat keuntungan cepat, dan mudah terpedaya dengan tipu helah, adalah antara punca utama kes penipuan siber berlaku, dengan jumlah kerugian di Sibu sahaja dalam tempoh lapan bulan lepas mencatatkan jumlah kerugian RM7,701,335.82.

Beliau berkata kes penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian tertinggi dengan RM2,232,038.33, diikuti belian (RM1,366,806.69), penipuan pekerjaan tidak wujud (RM1,393,507.06), Love Scam (RM1,136,440.00) dan phone scam (RM1,035,920.75).

“Kes lain ialah penipuan pinjaman tidak wujud (RM295,025.80), penipuan menang peraduan tidak wujud (RM133,712.80), parcel scam (RM45,962.00), penipuan serah nombor OTP/serah maklumat perbankan (RM34,122.39) dan penipuan menyamar sebagai kawan/saudara (RM27,800),” katanya.

Beliau berkata 298 kertas siasatan telah dibuka dari tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja manakala sebanyak 318 kertas siasatan dibuka pada keseluruhan tahun lepas.

-- BERNAMA